PADA pertengahan 1990-an, ketika saya merupakan seorang peguam korporat muda, saya sering melakukan banyak kerja di Afrika Selatan.

Pada masa itu, 'Negara Pelangi' itu, di bawah kepimpinan ketua Kongres Nasional Afrika (ANC) dan ikon global Nelson Mandela, sedang muncul dari era apartheid.

Ia merupakan suatu waktu yang penuh dengan harapan tinggi dan dalam masa sama, perasaan bimbang dan tidak menentu.

Adakah ketidakadilan yang sejak berkurun lama boleh diselesaikan?

Bolehkah suatu negara yang penduduknya begitu terbahagi (pada masa ini lebih 57 juta orang), kepada Afrika, Berwarna, India dan Kulit Putih, dapat disembuhkan?

Untuk seketika, magik Mandela memberi kesan.

Pergunungan Table Mountain yang menghadap ke pesisir kota Cape Town, Afrika Selatan.

Selepas lebih 27 tahun dalam tahanan, beliau dapat menggunakan kekuasaan politik dan moral beliau untuk memelihara perdamaian negaranya, menghalang timbulnya kekacauan kaum.

Saya kembali ke Cape Town pada Tahun Baharu, menemui sebuah negara yang masih sangat indah: pergunungan Table Mountain berada betul-betul di hadapan jendela hotel, kebun anggur Stellenbosch dan hempasan ombak Lautan Atlantik dan Hindi.

Bagaimanapun, pembangunan Afrika Selatan pada hari ini sudah terjejas.

Kadar penganggurannya adalah pada 27 peratus dan Bank Dunia telah baru-baru ini meramalkan ekonomi negara itu akan hanya tumbuh pada 2.1 peratus pada 2018.

Bandar-bandar dengan rumah setinggan berbumbung zink di Khayelitsha dan Soweto yang disangkakan telah hilang ditelan zaman tetapi rupanya bertambah banyak - satu testimoni tentang masa depan yang makin teruk bagi negara dengan majoriti 80.2 peratus penduduknya dari komuniti Afrika.

Ironinya, korporat-korporat Afrika Selatan - sebahagiannya kerana cabaran-cabaran ini - telah menjadi pemain paling dinamik benua itu. Pemilik perusahaan tembakau tempatan, Rupert's dengan Richemont, kini menjadi pemain barangan mewah global, memiliki barangan berjenama dari Cartier hingga ke Montblanc.

Tetapi mungkin apa yang paling mengejutkan ialah Naspers, kumpulan media Afrikaan yang pro-Apartheid dan satu masa dulu sangat dibenci, berpangkalan di Cape Town.

Ia kemudiannya memasuki dunia Internet lama sebelum syarikat-syarikat global seumpamanya - dengan mengambil alih pegangan 46.5 peratus dalam kumpulan atas talian China - Tencent - yang ketika itu tidak begitu dikenali pada 2001.

Ketika ini, Naspers dinilai pada USD85 bilion, syarikat paling berharga di benua Afrika.

Semua perkara ini berlaku pada ketika dominan politik ANC. Dalam zaman Mandela (dan juga penggantinya Thabo Mbeki yang dapat bertahan) kompetens merupakan mercu tanda pemerintahan.

Thabo Mbeki memegang jawatan sebagai Presiden Afrika Selatan dari 1999 hingga 2008. Die Burger/Mlandeli Puzi/Gallo Images

Bagaimanapun, presiden sekarang yang naik mendadak serta tidak berprinsip, Jacob Zuma, institusi-institusi negara talah terhakis dari dalam.

Malah, "pengambilalihan negara" telah membawa maksud serupa dengan ANC.

Istilah itu mula dicipta oleh Bank Dunia, dan kini ia menjadi bahan percakapan di Afrika Selatan - dan kini ia menjadi bertambah relevan di tempat-tempat lain. Pada asasnya ia merupakan satu bentuk korupsi sistemik - membolehkan kepentingan persendirian menentukan aktiviti negara.

Maka telah dihujahkan bahawa perkara ini membawa kepada kejatuhan Zuma. Beliau telah digantikan oleh ketua amat penting ANC, Cyril Ramaphosa pada Disember 2017 dan sudah kedengaran cakap-cakap bahawa beliau akan akhirnya tersingkir juga daripada kepresidenan.

Dikenali sebagai memiliki kehidupan peribadi yang penuh warna dan kontroversi, kharisma Zuma menampakkan perbezaan ketara berbanding dengan gaya serius Mbeki.

Lagipun, sebagai seorang Zulu (Mandela dan Mbeki adalah orang Xhosa), peningkatan beliau menandakan rekonsialisasi dalam komuniti kulit hitam.

Zuma malangnya merosot menjadi satu watak dunia membangun: campuran antara korupsi, kronisme dan politik perkauman.

Pada Mac 2016, mahkamah tertinggi negara itu memutuskan bahawa beliau telah melanggar perlembagaan dengan membelanjakan wang pembayar cukai untuk menaiktaraf kediaman peribadinya dengan sebuah kolam renang dan sebuah amfiteater.

Seorang bekas menteri tanpa segan silu mempertahankan pembaikpulih itu dengan mendakwa bahawa kolam itu merupakan simpanan air bertujuan memadamkan api. Zuma juga berdepan dengan 783 dakwaan korupsi berhubung dengan suatu urus niaga senjata tetapi tiada pertuduhan dibuat.

Tetapi apa yang menyebabkan pukulan akhir terhadap beliau ialah apabila terdapat pendedahan mengenai penglibatan beliau dengan keluarga India-Afrika Selatan, Gupta.

Warga Afrika Selatan kelahiran India, Atul Gupta, bersama Presiden Jacob Zuma di Stadium Bidvest Wanderers, Johannesburg. Foto GCIS South Africa

Keluarga Gupta diperkenalkan kepada Zuma melalui anak lelakinya, Duduzane Zuma. Keluarga itu membiayai keputusan pelaburan Zuma, menjadikan mereka amat kaya.

Pada lewat Mei 2017, emel-emel Gupta, perniagaan mereka dan rakan kongsi telah dibocorkan oleh wartawan dalam satu pendedahan yang dikenali sebagai #Guptaleaks. Sejauh mana kuasa yang mereka pegang ke atas negara, terutama dalam melemahkan institusi kewangan telah didedahkan. Dalam satu kejadian, rundingan bagi kedudukan menteri dilakukan di rumah agam mereka di kejiranan kecil Saxonwold di Johannesburg.

Pada Disember 2015, Menteri Kewangan yang dihormati, Nhlanhla Nene tiba-tiba dipecat kerana dikatakan membantah perbelanjaan berlebihan ke atas projek yang menguntungkan keluarga Gupta.

Des Van Rooyen, seorang kroni Gupta telah dilantik sebagai ganti tetapi ia hanya bertahan empat hari sebelum digantikan dengan seorang bekas Menteri Kewangan yang lain, Pravin Gordhan bagi mengelak keruntuhan penuh para pelabur.

Zuma bagaimanapun telah menyingkirkan Gordhan dalam satu rombakan Kabinet yang kontroversi pada tahun 2017.

Pergolakan kabinet menggegarkan keyakinan pelabur dengan Standard & Poor baru-baru ini menurunkan penarafan hutang matawang tempatan Afrika Selatan menjadi tanpa nilai.

Walaupun beberapa anggota Jawatankuasa Eksekutif Nasional ANC meminta beliau melepaskan jawatan sebanyak dua kali sejak tiga tahun lalu, dan juga beberapa undi tidak percaya yang gagal dilancarkan padanya - Zuma tetap bertahan.

Bagaimanapun, ketidakjujuran beliau melemahkan ANC hingga pada peringkat tidak pernah terfikir pada tahun-tahun terdahulu.

Dalam pilihan raya 2016, ANC malah kehilangan jawatan Datuk Bandar Johannesburg - kota penggerak ekonomi negara di samping merupakan kubu kuat parti.

Diandaikan bahawa Ramaphosa berjaya menjadi presiden, beliau akan menghadapi cabaran besar untuk merapatkan negara yang amat berpecah itu.

Jurang besar kekayaan masih tidak mengecil: 10 peratus penduduk memiliki 90 peratus kekayaan, kebanyakannya adalah tuan-tuan tanah kulit putih. Purata jangka hayat ialah 62.5 tahun, kadar kematian kanak-kanak ialah 35.5 bagi setiap 1,000 kelahiran yang hidup dan paling menakutkan ialah 18.3 peratus orang dewasa Afrika Selatan berusia antara 15-79 adalah positif HIV.

Cyril Ramaphosa adalah presiden parti pemerintah Kongres Nasional Afrika. Dia dijangka menggantikan Presiden Afrika Selatan Jacob Zuma. Glyn Kirk/AFP

Walaupun dalam keadaan begini, adalah dihujahkan bahawa institusi Afrika Selatan terutama mahkamah dan medianya, kekal kuat dan jitu.

Tetapi, kerosakan di bawah pemerintahan Zuma telah menjejaskan tubuh politik Afrika Selatan, jiwa nasionalnya dan reputasi antarabangsanya dengan amat besar sekali.

Sudah pasti, mudah untuk kita menyifatkan Afrika Selatan sebagai satu lagi kes contoh negara yang datang dari sebuah benua yang bermasalah.

Tetapi, tanyalah mana-mana warga Asia Tenggara yang jujur - ramai akan melihat persamaan yang membimbangkan terhadap beberapa negara kita.

Potensi ekonomi dan sumber alami Afrika Selatan amat mengkagumkan. Tetapi, salah pengurusan dan politik yang buruk telah merosakkannya dan meracuni hubungan kaum.

Tidakkah bunyinya kedengaran hampir serupa?