Tutup

Ceritalah ASEAN - Joko Anwar: Cemerlang atas usaha sendiri

Ceritalah ASEAN - Joko Anwar: Cemerlang atas usaha sendiri
Joko Anwar menghasilkan empat buah filem pada 2019: Orang Kaya Baru, Gundala, Perempuan Tanah Jahanam (Impetigore) dan Ratu Ilmu Hitam. - Foto Pasukan Ceritalah
JOKO Anwar berbakat hebat. Bertukar dari genre ke genre, pembikin filem berusia 40 tahun itu, dan mantan "enfant terrible" (berkelakuan tidak konvensional) telah menjadi lebih meyakinkan dengan cara beliau menangani bahasa, irama dan muzik filem.

Pada tahun 2019 saja, seniman kelahiran Medan itu telah menulis dan mengarah dua karya pemecah panggung - "Gundala" ("Petir" dalam bahasa lama Jawa) dan "Perempuan Tanah Jahanam" (dikeluarkan di luar negara sebagai "Impetigore") - kedua-duanya dijual laris dengan tiket lebih 1.5 juta. Beliau juga adalah penulis skrip bagi dua lagi karya, komedi "Orang Kaya Baru" dan "Ratu Ilmu Hitam", sebuah filem seram.
Walaupun semua filem itu tidak sampai pada filem besarnya pada tahun 2017 "Pengabdi Setan" dengan 4.2 juta tiket terjual, bonanza terbaharu itu memperlihatkan keupayaan rekaannya yang luar biasa apabila beliau berubah antara distopia kota dan ketidakbermoralnya Jakarta kontemporari dan mistikisme serta simbolisme pedalaman Jakarta.

Joko adalah seorang lelaki besar dan sasa. Tarikannya dan citra jenakanya menyembunyikan suatu minda yang amat bekerja keras dan berfokus. Seperti mana beliau menceritakan pada Pasukan Ceritalah ketika beliau duduk bersama dengan mereka baru-baru ini: "Saya anggap diri saya kaki filem sejati. Dan saya mahu membuat filem dengan cara saya menghadamnya. Jadi, akhirnya saya bikin semua jenis filem."
Itu mungkin merupakan sesuatu pernyataan merendah diri: "Gundala" satu filem aksi yang berdasarkan pada siri komik Indonesia popular dirancang menjadi satu daripada lapan filem dalam "Bumilangit Universe" untuk dikeluarkan sehingga tahun 2025 ala Marvel Cinematic Universe, dan menjadi francais pertama jenis itu di Asia Tenggara.

"Gundala" adalah filem gelap dan moody, dipasak oleh persembahan menonjol oleh pelakon utamanya yang membara di luar jangkaan, Abimana Aryasatya, serta juga watak jahat hebat dilakonkan oleh Bront Palare dari Malaysia.



Suasananya menekan sejak dari awal lagi. Di sebuah kilang terpencil yang dirundung konflik, tenaga kerja terdesak bertembung dengan seorang pemilik kejam yang tidak kelihatan.

Tiba-tiba kita dibawa ke Jakarta. Joko mengelak glamour Menteng dan Kebayoran. Sebaliknya, beliau paparkan satu dunia penuh tabah terdiri daripada kediaman sesak, pasar jalanan dan kampung kota yang mana kejahatan dan kekerasan kasual menguasai dari setinggan hingga ke peringkat tinggi kekuasaan.

Joko menimba dari satu takungan kekecewaan kota tidak berbeza daripada pengarah pemenang hadiah Filipina Brillante Mendoza sebagai elit, melalui kawalan mereka ke atas media massa yang mengelabui kesedaran awam terhadap peristiwa dan isu. Sementara premisnya bukanlah suatu yang hebat tetapi persembahannya -- rasa tidak selesa  dan ketakutan -- adalah amat nyata.

Adalah sukar untuk mengenepikan keselarian seni Joko dengan apa yang berlaku dalam kehidupan sebenar. Tetapi pengarah itu dengan tegas menafikan cuba untuk menyampaikan dengan jelas sebarang jenis mesej politik dalam karyanya.

"Saya ada perkara untuk dibicarakan dalam semua filem saya, tetapi saya secara khusus tidak memihak."

Kematian ayah Sancaka adalah momen penting dalam filem Gundala. Foto Screenplay Films

Dengan berkata demikian, beliau tidak menafikan bahawa semua seni mengandungi inti politik. Malah setelah bermula sebagai seorang wartawan dan pengkritik filem untuk Jakarta Post yang berinovatif, beliau adalah seorang yang memiliki pandangan tegas.

"Saya membikin filem ini berasaskan pada reaksi saya terhadap apa saja yang berlaku dalam masyarakat pada masa itu. Saya adalah politikal. Saya tidak boleh menafikannya."

"Tetapi beginilah duduk perkara, sebagai sebahagian daripada warganegara yang berfungsi, seseorang mesti aktif dalam menyuarakan mengenai cara negaramu ditadbir. Jika seseorang melakukan sesuatu yang tidak betul, anda mengkritiknya. Anda tidak mampu untuk menyokong ahli politik secara membuta tuli."

Joko tentunya akan membantah dengan menyatakan bahawa filemnya bermaksud untuk pertamanya dan utamanya menghibur. Tetapi beliau melihatnya bahawa adalah tanggungjawabnya untuk menyumbang kepada kesedaran kolektif rakyat Indonesia mengenai isu penting seperti korupsi dan keberleluasannya patriarki.

Maka tidak mengejutkan, banyak filem Joko berkisar pada peranan wanita sebagai ibu dan isteri.

Dalam "Pengabdi Setan," seorang wanita di bawah tekanan untuk mempunyai anak terbabit dengan kumpulan sesat syaitan.

Dalam "Ratu Ilmu Hitam," seorang lagi watak perempuan melemparkan sumpahan untuk melakukan pembalasan dendam ke atas pendera ibunya dan pelakuan salah seks kawan-kawannya.

Pasukan Ceritalah mewawancara Joko Anwar di Jakarta. Foto Pasukan Ceritalah

Begitunya dalam "Perempuan Tanah Jahanam," sumber sumpahan itu menampilkan plot seorang wanita yang dirogol oleh datuk watak utama.

Mungkin latar belakangnya -- dibesarkan utamanya oleh ibunya dalam sebuah keluarga miskin -- menjelaskan simpati Joko terhadap nasib wanita.

Watak perempuannya aktif membentuk naratif -- dan dalam kes teraju wanita yang juga muse baginya, Tara Basro yang lampai dan beratletik -- beliau boleh menarik perhatian kamera untuk berminit-minit lamanya. Gambaran pembukaan yang amat seram dalam "Perempuan Tanah Jahanam" dengan Tara yang berdepan penyerang memegang kapak akan mengubah persepsi anda selamanya terhadap pengutip tol jalan yang rendah diri.

Para lelaki dalam filem-filem Joko -- terutamanya sosok bapa -- pada umumnya tidak wujud atau tidak berguna. Malah dalam "Gundala" -- filem adiwira yang sarat testeron -- ia (isyarat spoiler) adalah adiwira perempuan yang terbang dan menyelamatkan protagonis lelaki.

Karya Joko mengingatkan seseorang pada pengarah Amerika Afrika Jordan Peele, ("Get Out" dan "Us" ) yang filemnya menonjolkan rasa takut dan cukup dengan kekerasan yang tersembunyi. Kedua-dua pengarah merungkai norma-norma dan harapan masyarakat sementara menghasilkan filem arus perdana yang merentas (dan malah melangkau) banyak genre.

Dua watak protagonis wanita dari filem Perempuan Tanah Jahanam, dimainkan oleh Tara Basro dan Marissa Anita. Foto IMDB

Apabila ditanya bagaimana beliau mempunyai masa untuk terbabit dengan empat filem dalam setahun, beliau berkata: "Saya cuma suka kerja saya. Sejujurnya, saya tidak tidur. Saya bekerja di mana-mana!"

Bagi penggemar filem di Indonesia, Joko Anwar adalah nama yang disebut-sebut di merata-rata tempat. Saya yakin bahawa hanya menunggu masa, tokoh ini mencapai kejayaan peringkat Asia, kalau tidakpun dunia. Begitulah kekuatannya dan penguasaannya yang meningkat ke atas seni penceritaan dan kesungguhan kuat dan tegas.




* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.