VIETNAM selaku pengeluar kedua terbesar kopi dunia mengeksport kira-kira AS$3.5 bilion komoditi itu dalam tahun 2018.

Kedudukan negara Asean itu hanya pada tempat kedua selepas Brazil dengan nilai eksport kopi berjumlah AS$5.2 pada tahun sama.

Pada tahun 1986, republik itu hanya mampu menanam sekitar 300,000 beg berisi 60 kilogram (kg) biji kopi.

Pada tahun 2018, jumlahnya melonjak kepada lebih 30 juta beg, iaitu peningkatan 100 kali ganda.

Sebagai perbandingan, pengeluaran Indonesia meningkat dari 5.9 juta beg dalam tahun 1986 kepada 10.2 juta beg dalam tahun 2018.

Hak hartanah -- satu anatema dalam kebanyakan negara Komunis -- menjadi kritikal kepada perkembangan. Dengan reformasi 'Doi Moi' pada tahun 1986, ia telah menyediakan satu pentas bagi pemansuhan dasar-dasar kolektivisasi ladang yang merosakkan pada era 1950- dan 1960-an.

Pasukan Ceritalah baru-baru ini mengunjungi wilayah penanaman kopi di Dak Lak (tujuh jam ke timur laut Ho Chi Minh City) untuk meluangkan masa bersama Nguyen Van Tuyen, 64, seorang bekas tentera dan isterinya, Thang.

Sebuah ladang kopi di Indonesia. Foto Comunicaffe International
Setelah berhenti berkhidmat dalam tentera pada tahun 1979, Tuyen kembali ke kediaman asalnya An Lao di kawasan utara.

Bagaimanapun, sedar yang dia perlu menanggung ahli keluarganya yang semakin ramai, Tuyen memilih untuk meneroka ke wilayah selatan.

Dia akhirnya berhijrah di bandar Buan Ma Thuat untuk mencari peluang baharu.

"Saya datang ke sini untuk memulakan kerjaya sendiri," kata Tuyen.

Bekerja sebagai buruh, Tuyen berupaya menyimpan sedikit wang.

Dalam tahun 1993, dia membeli satu lot tanah berkeluasan 7 hektar berharga VN$50 juta (AS$4,700 pada masa itu) dan menanam jagung dan terung.

Pada tahun 1994, dia beralih kepada tanaman kopi. Oleh kerana tiada modal, dia terpaksa melakukannya sendiri.

Nguyen Van Tuyen duduk di hadapan deretan gambar di dinding yang dengan bangganya memaparkan kebahagiaan keluarganya dan kejayaan anak-anaknya. - Pasukan Ceritalah
"Saya terpaksa menanamnya sendiri. Saya juga menternak lembu untuk mendapatkan baja.

"Ada bulan yang juga panas dan kering. Ladang kopi perlu diairkan sepanjang masa -- itu adalah tugas dan kos utama.

"Pada masa lalu, tiada sistem paip. Saya terpaksa buat pengairan sepanjang malam, dari 7 malam hingga 6 pagi," kata Tuyen.

Selepas tiga tahun, dia menuai hasil buat julung kalinya, petanda permulaan kejayaan perniagaan kopi yang diusahakannya.

Tuyen memperoleh kira-kira VN$31,500,000 hingga VN$36,000,000 (AS$1,340 hingga AS$1,550) sehektar.

Ketika musim panas, dia melabur VN$300,000 (AS$13) untuk pengairan yang merupakan perbelanjaan utama dan kira-kira VN$200,000 (AS$9) bagi setiap pekerja sehari semasa musim menuai.

Bagaimanapun, harga kopi tidak menentu. Dia masih ingat terpaksa merayu kepada pembeli, namun tidak semuanya berjaya.

Malah, pernah tergerak hatinya untuk menebang kesemua pokok kopi yang ditanamnya.

Namun ada sesuatu yang mendorongnya untuk terus berusaha -- anak-anaknya. Dia mahu memastikan dapat menghantar mereka ke sekolah.

Dia mula melakukan kerja-kerja sampingan.

Memeriksa biji kopi. Pasukan Ceritalah
Tuyen akhirnya menebang sebahagian daripada tanamannya bagi memberi ruang kepada tanaman kontan lain, seperti labu, kacang dan jagung untuk dijual isterinya di pasar tempatan.

Dia juga mula memancing di tasik di belakang rumahnya dan hasil tangkapannya juga dijual.

"Saya seorang yang komited," Tuyen bercerita tentang dirinya.

"Saya sentiasa mencari jalan penyelesaian. Semasa perang Vietnam, saya berkhidmat sebagai pemandu trak, mengangkut senjata dan bekalan untuk medan perang di selatan," kata Tuyen.

Menurutnya, dia pernah diupah untuk mengelak daripada dikesan dan dibom tentera AS ketika mengangkut bekalan dari Hanoi ke Hai Phong. Sehingga ke hari ini, dia amat berbangga dengan taktik pemanduannya.

Tambahnya, petani Vietnam terpaksa berdikari. Mereka kebanyakannya pekebun kecil dan kurang mendapat bantuan kerajaan.

Selain itu, para petani ada menerima bantuan daripada pihak berkaitan tetapi tidak memberi kesan yang besar.

"Pelaksanaannya tidak dilakukan dengan baik," jelas Tuyen.

Ketika keadaan ekonomi mendesak, Tuyen memancing ikan di tasik ini yang memberikan sumber pendapatan sampingan untuknya. Pasukan Ceritalah
Baginya, adalah lebih baik jika kerajaan menghulurkan bantuan wang tunai atau latihan daripada memberikan mereka racun perosak dn baja bermutu rendah.

Usaha keras dan kepintaran mereka dalam penanaman kopi membolehkan pasangan ini menyara dan mendidik lapan anak, semuanya telah dewasa dan memulakan kehidupan mereka sendiri.

"Kopi telah menyara seluruh keluarga saya. Saya sangat bersyukur. Anak-anak saya sudah dewasa, tinggal saya dan isteri; sebab itu saya ada banyak wang."

Apa yang dikesalnya ialah tidak seorang pun ahli keluarganya yang mahu mengambil alih perniagaan keluarga.

Sebaliknya, anak-anaknya mempunyai aspirasi sangat berbeza.

Tuyen di ladang kopi miliknya. Katanya, tanaman itu membantunya membesarkan anak-anaknya. Pasukan Ceritalah
Berbanding pendidikan, perladangan bukan pekerjaan yang menarik di Vietnam. Maka tidak hairanlah anak-anak Tuyen memilih untuk menjadi guru, menyertai tentera dan terlibat dalam perniagaan.

Kesungguhan anak-anak Tuyen, biarpun berbeza dengan cara mereka sendiri, mencerminkan perjuangan bapanya untuk membolehkan keluarga terus hidup.

Maka, dalam satu segi, semangat juang ini diteruskan merentas generasi, walaupun dalam bentuk yang berbeza.

Apabila orang tertanya-tanya bagaimana dan mengapa rakyat Vietnam amat berjaya daripada segi ekonomi, adalah penting untuk mengingati betapa hebat masyarakat ini terjejas hingga berdekad lamanya akibat perang.

Apa yang muncul pasca era itu adalah warganya yang dahagakan pekerjaan, perdamaian dan kemakmuran.

Sebagaimana pencapaian Vietnam dalam pembuatan dan industri, semangat juang sama juga wujud di ladang dan bandar di seluruh negara.


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.