Tutup

Ceritalah - Enam hari di laut: Suatu pelayaran di atas Nggapulu

Ceritalah - Enam hari di laut: Suatu pelayaran di atas Nggapulu
Kebanyakan penumpang berkumpul di dek kerana tidak banyak aktiviti boleh dilakukan di atas kapal ini. - Pasukan Ceritalah
NGGAPULU (dinamakan sempena sebuah puncak gunung yang berlitup salji di Banjaran Jayawijaya di Papua) adalah sebuah kapal binaan Jerman dan sebahagian daripada rangkaian syarikat feri nasional, PELNI.

Selama enam hari lima malam, kapal sepanjang 146.5 meter itu membawa 2,170 penumpang termasuk pasukan Ceritalah pulang dengan laluan pelayaran dari Surabaya di Jawa Timur ke Makassar, Bau Bau, Ambon, Bandar Neira dan Tuai di kepulauan Kei.
Perjalanan hampir 3,000 batu melintasi batas geografi yang dikenali sebagai Garisan Wallace itu membawa pasukan Ceritalah dari salah sebuah pulau paling padat populasi di dunia dan memiliki gabungan ketara haiwan Asia iaitu kera, gajah serta harimau, ke perairan bergelora yang jarang dilalui di pantai selatan Papua yang memiliki flora dan fauna Australasia – burung kakak tua, cenderawasih dan marsupial.

Dari saat para penumpang menaiki feri lapan tingkat itu -- dalam suasana tergesa-gesa dan bersesakan dek pengangkut barang, beg dan kotak serta barangan peribadi -- Nggapulu menjadi suatu mikrokosmo republik itu sendiri.
Terdapat orang Jawa, Sumatera, Bugis (pedagang yang ketara dari bahagian kepulauan negara di sebelah timur), orang Papua, Ambon, kumpulan keluarga, pengantin baharu, pedagang dan pelajar terhimpun dalam suatu kumpulan Indonesia kontemporari.

Penumpang memunggah barang-barang mereka ketika kapal Nggapulu berlabuh. - Pasukan Ceritalah

Pada tahun 2015, sebagai respons pada lonjakan persaingan dari sektor syarikat penerbangan yang sedang meningkat, PELNI mengubah dirinya menjadi perkhidmatan satu feri kelas ekonomi sepenuhnya.

Tiada lagi kabin persendirian dan hierarki, sekali gus bermakna peluang pergaulan menjadi lebih ketara dan tidak dapat dielakkan. Para penumpang ditempatkan di deretan katil beralas tilam plastik berwarna terang yang disusun di seluruh dewan terbuka di setiap lapan dek.

Bagaimanapun, dalam gaya sebenar Indonesia, dan walaupun dengan keadaan sesak dan juga keadaan bilik air primitif yang ‘mengejutkan’, setiap orang berupaya mengekalkan gelagat humor dan adabnya. Tentunya mereka yang biasa mengembara lebih bersedia. Mengetahui apa yang hendak dijangka, mereka membawa khemah kecil dan tilam ke ruang terpencil kapal, malah ada yang di bawah tangga.

PELNI ditubuhkan pada 1950 lalu. Buat masa ini terdapat 79 buah kapal dalam pelbagai saiz, ia mengendali  laluan ke bahagian paling terpencil di republik itu, dari Gunungsitali ke Kepulauan Mentawai di barat kepada Miangas tidak jauh dari pulau Filipina Mindanao di sebelah utara.

Kapal PELNI mempunyai kemudahan penginapan yang sangat asas. Tilamnya hampir bersentuhan antara satu sama lain. Jadi, tidak hairan jika tiba-tiba penumpang di sebelah 'menceroboh' kawasan anda ketika anda sedang lena. - Pasukan Ceritalah

Dengan adanya kemudahan yang ringkas, tambangnya tentulah difahami kompetetif. Pasukan Ceritalah belayar dari Surabaya dan Tuai (laluan dua minggu sekali bermula di Jakarta dan berakhir di Sorong) hanya 547,000 Rupiah (kira-kira RM163). Dibandingkan dengan tiket kapal terbang yang berharga kira-kira 3,000,000 Rupiah (RM895).

Pada penghujung 2000, PELNI membawa 8 juta penduduk dalam perkhidmatannya. Tahun lalu, dalam 2018, jumlah itu telah menurun hingga kira-kira 3.6 juta.

Lagipun, selepas berdekad mengalami kerugian, syarikat itu – yang merupakan sebahagian daripada pelan infrastruktur bercita-cita tinggi Presiden Joko Widodo, menerusi inisiatif "Tol Laut" (iaitu untuk meningkatkan kesalinghubungan laut Indonesia), akhirnya meraih keuntungan.

Pada zaman dulu, sebelum perkhidmatan feri dikemas kini, para penumpang tidak dijamin akan mendapat tempat duduk atau katil, malah akan mencetus pergaduhan apabila orang ramai berebut bagi mendapatkan kemudahan terhad. Kini dengan katil yang ditetapkan, rebutan itu kurang mendatangkan stres.

Sungguhpun begitu, Dami, seorang suri rumah berusia 30 tahun dari Sulawesi Selatan berkata: “PELNI perlu mengutamakan bilik air kerana ia sangat kotor. Terdapat lipas di merata-rata tempat."

Penumpang mengerjakan solat Jumaat di atas dek. - Pasukan Ceritalah

Perkhidmatan inklusif penuh dengan tiga hidangan makanan setiap hari tidaklah juga hebat. Kebanyakan penumpang membawa makanan sendiri atau menambah bekalan mereka dari kantin kakitangan. Terdapat juga penjual snek seperti mi segera dan buah.

Pemandangan awal laut yang luas, terbuka adalah mengagumkan terutama pada waktu Subuh dan Maghrib. Tetapi setelah memandangnya dari jauh, anda sedar bahawa itu saja yang dapat dilihat. Maka, walaupun ia merupakan peringatan yang kuat dan menginsafkan tentang skala besar republik itu, pelayaran itu juga memenatkan dan meletihkan.

Dalam kebosanan, para penumpang -- seperti biasa yang dilakukan manusia -- mereka berpaling pada satu sama lain untuk hiburan, pergaulan dan ketenangan.

Terdapat  sebuah pawagam sementara yang menayangkan filem lama Bollywood dan muzik secara langsung iaitu daripada seorang pemain piano dan penyanyi, yang memainkan lagu-lagu pop klasik. Selain itu, terdapat permainan papan dan pastinya... selalunya akan menikmati tarikan rokok kretek beraroma enak. Pada satu peringkat, terdapat juga tarian sebaris yang spontan.

Tidak dapat dielakkan, setiap orang akan dilanda mabuk laut -- laut antara Bau Bau dan Ambon khususnya amat bergelora. Ada orang menggunakan remedi tradisional seperti ‘bekam’.

Pemandangan matahari terbit dari dek kapal Nggapulu. - Pasukan Ceritalah

Waktu solat membawa orang Islam bersama. Malah, pemandangan dek terbuka yang sesak sewaktu sembahyang Jumaat adalah suatu yang menaikkan semangat.

Ibnu Rihamdani, seorang pelajar Universiti Muhammadiyah Buton berusia 19 tahun dari Sulawesi Tengah memberitahu pasukan Ceritalah: "Apa yang saya paling suka terhadap pelayaran itu adalah kita boleh jumpa orang baharu. Hubungan itu hampir bersifat bersaudara."

Sungguhpun begitu, persahabatan ini kemudian dilupakan apabila para penumpang meninggalkan kapal itu dan kembali kepada kehidupan masing-masing. Walaupun demikian, penumpang baharu akan menaikinya dan proses itu berulang.

Maka, Nggapulu adalah metafora kuat namun elegan bagi Indonesia ketika mana Joko Widodo, presiden ketujuh republik itu -- seorang pembuat perabot dari Solo di Jawa Tengah -- mengangkat sumpah bagi penggal kedua jawatan itu.

Sentiasa dilanda ribut dan taufan (sama ada politik, ekonomi dan seismik), 267 juta rakyat republik itu memperoleh keselesaan dalam agama masing-masing serta juga persaudaraan di sekeliling mereka. Kesemuanya berlaku di tengah-tengah dendangan dangdut yang bingit dan kehangitan bau kretek.

Mabuk laut perkara biasa di atas kapal memandangkan lautnya kuat bergelora. - Pasukan Ceritalah

Perjalanan hampir seminggu dari Jawa ke Kepulauan Rempah itu memberi anda suatu perasaan terhadap keluasan perairan republik, ditambah pula apabila anda berasa bahawa Kepulauan Aru dan Merauke di Papua berada lebih jauh di timur.

Maka, ketika semua perkara tidaklah semestinya hebat, eksperimen luar biasa Indonesia adalah seperti Nggapulu itu sendiri, dengan 2,170 penumpang disatukan oleh kesusahan bersama dan keinginan bersungguh-sungguh untuk sampai ke destinasi: suatu penyeimbang yang hebat.

Dan seperti selalunya, ia terus bergerak ke depan.

Pasukan Ceritalah menaiki kapal Nggapulu dari Surabaya ke pulau Tual. - Pasukan Ceritalah



* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.