Tutup

Ceritalah Indonesia - Anak muda memberontak: Apa mereka mahu?

Ceritalah Indonesia - Anak muda memberontak: Apa mereka mahu?
Seorang anggota polis kelihatan menunjukkan simbol hati dengan jarinya di sebalik perisai yang dipegang. Pasukan Ceritalah
"KERAJAAN sepatutnya menjadi suara Tuhan bagi rakyat, bukannya suara syaitan."

Hamzah Mustafa, 22 tahun, seorang pelajar kesusasteraan Inggeris dari Tangerang Selatan, yang terletak di pinggir bandar Jakarta, mempunyai pandangan puitis yang kuat.
Peminat buku yang tegar, terutama naskhah tentang Islam, sejarah Turki dan Sufi, Hamzah merupakan anak bongsu daripada 11 beradik. Beliau masih ingat bagaimana bapanya - yang menyertai perjuangan kemerdekaan Indonesia - ketika nazak, mewasiatkan anaknya supaya "membela negara".

Mereka boleh dikatakan telah berpegang kepada amanat tersebut - di mana hampir kesemua mereka bekerja untuk kerajaan sama ada sebagai kakitangan awam atau guru. Malah ada di antaranya yang telah berkhidmat sebagai tentera.
Antara 23 dan 30 September lalu, Hamzah adalah salah seorang daripada ribuan pelajar yang membuat bantahan di luar Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), menghidupkan semula ingatan ketika era Reformasi, yang membawa kepada kejatuhan Presiden Suharto kira-kira 20 tahun lalu.


Hamzah Mustaffa, pelajar Universiti Pamulang di Jakarta, mengambil bahagian dalam demonstrasi dari 23 hingga 30 September. Pasukan Ceritalah

Ia bukan demonstrasi pertama yang disertai Hamzah: walaupun beliau enggan menyatakan siapa yang diundinya dalam Pilihan Raya Umum 2019, beliau mengaku telah mengambil bahagian dalam demonstrasi 22 Mei yang tercetus apabila Presiden Joko Widodo (Jokowi) disahkan bertanding semula.

Demonstrasi yang diadakan akhir-akhir ini adalah akibat kemarahan yang meluas terhadap rentetan penggubalan undang-undang yang diluluskan atau dipertimbangkan sebelum DPR 2014-2019 tamat tempoh (perwakilan baharu mengangkat sumpah pada 1 Oktober lalu), yang disifatkan para pengkritik sebagai terburu-buru.

Cadangan paling kontroversi ialah pindaan terhadap undang-undang yang mengawalselia Suruhanjaya Pembanterasan Korupsi (KPK) Indonesia yang diluluskan pada 17 September. Antara perubahan yang diperkenalkan ialah penubuhan sebuah badan kawal selia dan batasan yang dikenakan terhadap kuasa merakam talian telefon seseorang suspek.

Terdapat juga kekhuatiran terhadap cadangan pindaan kepada Kanun Jenayah Indonesia, atau KHUP. Kumpulan-kumpulan masyarakat sivil melahirkan kebimbangan ia akan menyebabkan hubungan seks di luar nikah menjadi satu jenayah, penghinaan terhadap Presiden dianggap satu kesalahan dan hak asasi wanita disekat, termasuk untuk melakukan pengguguran.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk yang berbunyi 'Selamatkan KPK'. Foto Agensi

DPR itu juga telah mempertimbangkan pindaan terhadap undang-undang berkaitan buruh serta penggunaan tanah dan galian - kesemuanya mengundang kontroversi.

Kemarahan orang awam amat memuncak. Sama ada adil atau tidak, kemarahan mereka itu kebanyakannya ditujukan kepada presiden yang dijadualkan mengangkat sumpah untuk penggal kedua 20 Oktober ini.

Bagi Hamzah, usaha mengurangkan kuasa KPK merupakan tamparan paling besar. Sudah tentu, ramai pemerhati berpendapat, Banten - wilayah Jokowi sendiri - memiliki rekod buruk dari segi korupsi dan salah laku pengurusan dengan kemuncaknya adalah penyingkiran dan pemenjaraan Gabenor, Ratu Atut Chosiyah, pada 2015.

Hamzah melihat korupsi ini sebagai sesuatu yang berleluasa dan berakar umbi.

Sekuntum bunga putih diberi kepada pegawai polis ini, sebagai tanda penunjuk perasaan berniat baik dan mahu berhimpun secara aman. Pasukan Ceritalah

Jadi, pada 23 September, Hamzah bersama kira-kira 600 lagi rakan dari Universiti Pamulang menyewa satu rangkaian bas mini usang Kopaja untuk perjalanan satu jam ke Jakarta. Sebaik tiba di stesen televisyen negara (TVRI) di Senayan, mereka bergabung dengan rakan-rakan seperjuangan dari institusi-institusi lain termasuk Universiti Indonesia dan Trisakti.

Mereka kemudian menuju - dengan berjalan kaki - ke DPR (sejauh 1.3km ke utara) dan pada hari itu, demonstrasi telah turut disertai pelbagai kesatuan sekerja.

Para pelajar membuat tujuh tuntutan, termasuk membatalkan pindaan undang-undang yang tidak popular itu, serta menghentikan tekanan yang didakwa berlaku di Papua dan juga pembakaran hutan di Kalimantan dan Sumatera.

Rancangan perjalanan peserta perarakan yang mengadakan tunjuk perasaan di Jakarta bulan lalu.

Tunjuk perasaan pada hari itu berlangsung cukup aman dengan para peserta yang mengambil bahagian sempat berhenti untuk solat dan berunding dengan polis. Bagaimanapun, menurut Hamzah, kira-kira jam 4.30 petang, tembakan gas pemedih mata telah dilepaskan ketika para pelajar baru hendak pulang. Ketika itu, mood telah berubah, dan pergaduhan berlaku selepas selesai solat Maghrib (sekitar jam 6.30 petang), yang mana polis bertindak balas dengan menghayun belantan dan melakukan tangkapan.

Hamzah berkata, dia telah dipukul beberapa kali tetapi berjaya kembali ke TVRI pada jam 1 pagi, dan kemudiannya menaiki Kopaja pulang ke kampus. Pengalaman itu bagaimanapun tidak jadi penghalang buat anak muda ini. Keesokannya, dia kembali lagi. Malah, kontinjen Pamulang pada hari berikutnya telah meningkat kepada lebih 2,000 orang.


Penunjuk perasaan mengikat sepanduk pada pintu masuk utama bangunan DPR. Pasukan Ceritalah

Pada malam kedua, polis sekali lagi melepaskan tembakan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan. Hamzah percaya beberapa orang rakannya telah ditangkap sepanjang tempoh dua hari itu (23 dan 24 September). Dia juga bimbang mendengar dakwaan yang timbul mengatakan mereka yang ditahan pihak berkuasa telah disiksa. Usaha untuk membebaskan mereka tidak mendatangkan hasil.

Sungguhpun begitu, semakin ramai pelajar didapati mengambil bahagian dalam demonstrasi itu.

Hamzah berpendapat, demonstrasi paling sengit adalah pada 30 September apabila polis mula menggunakan meriam air, peluru getah dan belantan. Pada malam itu, dia masih ingat bagaimana dia ditolak sejauh kira-kira 3.2 kilometer dari DPR, ke satu lokasi berhampiran Senayan City Mall.

"Kami seolah-olah seperti kucing dan tikus, main kejar-kejar dengan pihak berkuasa. Mereka di belakang kami, di keliling kami dan datang ke arah kami dari semua sudut. Kami terus duduk di jalan utama itu, di bawah sinaran lampu, dan memerhati kalau-kalau salah seorang daripada kami akan ditangkap."

Apa pun, nasibnya baik dan pada 1 Oktober, Pasukan Ceritalah menemui dan menemubualnya.  

Penunjuk perasaan menggunakan kain dan kadbod untuk melepasi halangan keluli yang diletakkan di hadapan bangunan DPR. Pasukan Ceritalah

Ada pihak yang menuduh pelajar-pelajar itu sebagai naif dan jahil. Tetapi, Hamzah menjawab dengan tegas: "Mereka (pelajar) mungkin tidak faham inti pati protes itu, dan mungkin berada di situ hanya untuk berseronok. Tetapi, mereka tetap berada di situ; ini menunjukkan bagaimana pentingnya keseluruhan hal ini, bagi mereka."

Usaha mereka mendatangkan hasil, dari satu segi.

Atas permintaan Presiden Jokowi, pindaan terhadap KUHP dan lain-lain undang-undang kontroversi ditangguhkan untuk dikaji semula oleh DPR yang baharu. Beliau juga berjanji untuk mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan dekri bagi membatalkan pindaan terhadap undang-undang KPK yang dibantah banyak pihak.

Namun, ia nampaknya tidak mencukupi bagi Hamzah. Seperti mana katanya kepada Pasukan Ceritalah: "Kami tidak akan berhenti. Kami akan datang kembali." 

Seorang wakil kesatuan sekerja, Serikat Buruh Bumi Manusia (SEBUMI), melambaikan bendera organisasinya sebelum meneruskan perarakan ke Parlimen. Pasukan Ceritalah


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.