announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Ceritalah: Tuntutan China atas Laut China Selatan - ASEAN harus bersatu

Ceritalah: Tuntutan China atas Laut China Selatan - ASEAN harus bersatu
Pemandangan udara Pelabuhan Tanjung Priok di Jakarta Utara, pelabuhan paling sibuk di Indonesia. Foto ihsan laman web Logistics Capacity Assessments
DONALD Trump dan Xi Jinping adalah dua ancaman terbesar terhadap perdamaian global hari ini, Kedua-duanya adalah pembuli -- mengganas 'kawasan sekolah' (schoolyard) masing-masing -- Amerika Latin dan juga Timur Tengah untuk Trump, dan Asia Tenggara untuk Xi Jinping.

Kejahilan Trump, sifat permusuhannya dan kedegilannya sentiasa boleh dilihat. Adalah mudah untuk menganggap gelagat kenekatan dan keberaniannya menentang Iran sebagai satu usaha bagi memalingkan perhatian setiap orang daripada pemecatan dan masalah bagi memenangi pilihan raya semulanya.

Xi tentunya lebih jahat. Pada tahun 2016, pemimpin-pemimpin dunia memandang Beijing dan Xi sebagai suatu hab alternatif -- terhadap suatu pendekatan ekonomi dan politik global yang berprinsip dan seimbang. Kata-kata tidak mampu mengungkapkan kekecewaan yang kita hadapi bersama.

China di bawah Xi telah melupakan semua ajaran mendiang Deng Xiaoping. Kerajaan Tengah itu bersifat samseng dan menghina negara-negara lebih kecil (iaitu kita) seperti juga AS. Regimnya mengatasi 'Abad Penundukan' oleh Barat sebagai alasan untuk memanipulasi negara-negara lain.

Malah, Presiden Xi menyelubungi tindakan agresifnya di Laut China Selatan (SCS) dan di tempat-tempat lain sebagai sebahagian daripada retorik "kebangkitan kuasa secara damai".

Kedua-dua AS dan China tidak sukakan diplomasi. Mereka memandang buruk pada kita. Pada mereka, kita lemah, kecil dan miskin. Pada zaman 60-an, orang Amerika menggelar orang Vietnam sebagai "gook" - yang bermaksud "orang asing," dengan konotasi menghina. Kini, bagi Beijing dan Washington, kita semua adalah "gook".

Dalam persekitaran begitu, kepercayaan global telah musnah, begitu juga pelaksanaan peraturan dan penghormatan terhadapnya.

Maksud saya, mengapa peduli untuk menunjukkan sikap saling hormat-menghormati apabila seseorang dengan mudah memukul kepala orang lain? Ini adalah gelagat pembuli yang klasik.

Kalau tidak, bagaimanakah seseorang dapat menjelaskan peningkatan sikap permusuhan China di SCS, khususnya gerakan-gerakannya di luar pulau-pulau Natuna -- yang mana perairan itu berada dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Indonesia. Pihak China bukan saja telah menghantar kapal-kapal nelayan mereka, tetapi juga kapal-kapal pengawal pantai mereka.

SCS adalah penting. Hampir sepertiga daripada kesemua perkapalan sejagat -- bernilai kira-kira ASD3.37 trilion -- melaluinya setiap tahun. Ia mengandungi simpanan tenaga berpotensi sebanyak 190 kaki padu gas asli dan 11 bilion tong minyak dan juga menyediakan 12 peratus tangkapan ikan sedunia.

China menuntut hampir keseluruhan SCS dengan menandakan "sembilan garis putus-putus" (Nine-Dash Line) yang tidak disukai, bertindan dengan beberapa negara Asia Tenggara lain. China bukan saja melanggar hampir setiap perairan negara lain tetapi juga membina pulau-pulau buatan di sana.

Bertahun rundingan untuk suatu "Kod Tingkah Laku" yang akan mengatur tindakan di SCS sehingga ini terbukti tidak mendatangkan hasil.

Adalah benar bahawa China merupakan rakan dagang terbesar ASEAN dengan perdagangan dua hala separuh tahun 2019 berjumlah ASD292 bilion dalam bentuk projek infrastruktur dalam  enam ekonomi terbesar ASEAN.

Indonesia -- yang ironinya pada masa lalu menyatakan bahawa ia malah bukan salah satu penuntut SCS -- dalam tiga suku pertama 2019 menerima kira-kira ASD3.3 bilion dalam projek China, antaranya adalah sebahagian daripada merupakan sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang amat kontroversi.

Penunjuk perasaan melaungkan slogan yang menolak sifat agresif China di Laut China Selatan ketika mengadakan demonstrasi di kota Ho Chi Minh. Foto AFP/Ceritalah

Presiden Joko Widodo mengunjungi Natuna pada awal tahun ini. Foto Instagram @jokowi

Pada 2017, Indonesia menamakan semula kawasan lautan di utara Natuna sebagai 'Laut Natuna Utara.' REUTERS

Tetapi adakah skala perdagangan, pelaburan dan pelancongan China memberikan mereka hak untuk menunggang kasar ke atas kita? Saya tidak berfikir demikian.

Sekali lagi, China sedang melupakan pelajaran sejarahnya: bahawa tidak ada bangsa akan menerima dominasi asing, tidak kiralah apa ancaman atau pancingannya.

Kita di Asia Tenggara mengambil berat terhadap integriti kita seperti orang China sendiri.

Mengapa pula kita menyerahkan hak kita? Mengapa pula patut hanya perasaan rasmi China diambil kira?

Xi sepatutnya boleh meraih manfaat besar dari sifat semberono dan -- mari kita terima apa ia sebenar -- kejahatan jelas Trump. Kita mahu menyukai dan menghormati Xi. Kita benar-benar menghendakinya.

Jadi, apakah semua anggota "kawasan sekolah" Asia Tenggara patut lakukan?

Tiga perkara kelihatan jelas:

Pertama: Perpaduan adalah kunci. Kita mempunyai perbezaan tetapi pembuli tidak boleh melayan buruk kanak-kanak lebih kecil di kawasan sekolah jika kita bersatu. Malah, pertahanan kita yang paling ampuh adalah bekerja bersama dan kita sudah memiliki struktur -- ASEAN -- untuk melakukannya. Kerjasama antara negara anggota -- termasuk latihan tentera bersama, pertukaran maklumat dan bentuk lain pembinaan kepercayaan -- adalah juga penting. Infrastruktur dan keupayaan maritim kita mesti sentiasa ditingkatkan. Jika kita semua bekerja secara berasingan, kita akan ditarik dan dipukul satu demi satu.

Kedua: Mengalah tidak akan menyelesaikan apa-apa. Filipina di bawah Rodrigo Duterte pada asasnya telah melakukan tindakan itu. Mereka tidak dapat menunjukkan apa-apa yang berharga dengan tindakan merendahkan diri mereka itu. Cuba menjaga perasaan seorang pembuli dengan memperkatakan perkara-perkara titik-bengek adalah tidak bermakna.

Pembuli dapat dijangkakan: jika mereka melukakan kamu sekali, mereka akan melakukannya lagi pada masa akan datang. Memberi muka tidak akan mendatangkan hasil.

Laut China Selatan dan Sembilan Garis Putus-putus (Nine-Dash Line). Foto Centre for Strategic and International Studies/Ceritalah

Presiden China Xi Jinping berjabat tangan dengan Presiden Filipina Rodrigo Duterte sebelum mesyuarat dua hala mereka pada acara Belt and Road Forum di Beijing. REUTERS

Sekarang saya tahu, banyak orang Asia Tenggara takut China akan bertindak balas dalam bentuk perdagangan dan pelaburan. Perkara ini pada keseluruhannya dapat dilakukan. Bagaimanapun, rantau kita telah berdagang dengan China berabad-abad lamanya dan akan terus berlaku. Hubungannya adalah terlalu mendalam untuknya terhenti.

Bagaimanapun, adalah penting bagi China untuk menyedari bahawa kita memandang serius terhadap kemerdekaan kita. Bahawa perjuangan kita untuk kedaulatan dan kebebasan daripada campur tangan asing tidak akan dilupakan.

Ketiga: Anda memerlukan kredibiliti untuk berdepan dengan pembuli. Kita sendiri mesti tidak bertukar menjadi pembuli. Semua negara kita mempunyai komuniti orang Cina yang besar. Mereka sudah menjadi sebahagian daripada negara kita masing-masing. Mereka mesti tidak menjadi mangsa tanpa disedari daripada tindakan China di rantau ini, lebih-lebih lagi di tangan kerajaan sendiri.

Pun begitu, ia masih suatu yang amat sukar. Kadang-kadang ia kelihatan seolah-olah tiada apa yang boleh membantu kita untuk menentang kedua-dua pembuli yang amat berpengaruh itu. Tetapi jika Asia Tenggara boleh melihat gambaran yang lebih besar dan berdiri bersama: maka ada peluang bahawa mungkin -- hanya mungkin -- kita dapat memelihara "kawasan sekolah" kita supaya bebas dan aman.

Kapal pengawal pantai China di perairan zon ekonomi eksklusif (EEZ) Indonesia di Natuna. Foto ANTARA

Kapal Perang Republik Indonesia menghadang kapal China di Natuna pada 4 Januari 2020. Foto ANTARA


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.