Presiden Chile Sebastian Pinera menggantikan Menteri Kesihatan Jaime Manalich di tengah kontroversi berhubung angka kematian di negara itu akibat COVID-19.

Pinera pada Sabtu berkata Manalich telah berusaha keras untuk melaksanakan 'tugasnya yang sukar dan mulia' untuk melindungi kesihatan masyarakat Chile.

Manalich digantikan dengan Oscar Enrique Paris yang merupakan seorang doktor akademik dan perubatan.

Rombakan secara tiba-tiba itu berlaku ketika Chile sedang menghadapi bulan yang paling sukar dalam membendung virus itu dengan peningkatan kes aktif dan angka kematian.

Negara itu mempunyai jumlah kes paling tinggi di Amerika Latin dengan lebih 167,000 kes positif dan lebih 3,000 kematian.

Manalich merupakan pakar buah pinggang yang pernah memegang jawatan tinggi di Hospital Chile mendapat pujian dalam kempen agresif memastikan hospital sentiasa dilengkapi dengan alat pengudaraan dan alat perlindungan serta melaksanakan sidang akhbar harian yang terperinci.

Namun, terdapat laporan mengenai perbalahan dalam kalangan pegawai kementerian kesihatan dan Manalich telah dikritik oleh ahli politik pembangkang, datuk bandar, pakar perubatan dan kumpulan sosial.

Ini disebabkan beliau dikatakan menolak untuk mengeluarkan data penularan yang lebih terperinci dan melaksanakan 'lockdown' lebih cepat serta perubahan kriteria dalam merekodkan kes kematian dan jangkitan.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan bahawa kes kematian akibat COVID-19 di negara itu sudah meragut lebih 3,000 nyawa sejak kes pertama muncul di Chile pada 3 Mac lalu.

Namun, satu laporan pada Sabtu menyatakan bahawa Chile telah memberitahu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa jumlah kematian sebenarnya lebih dari 5,000 orang.

Laporan itu berasal daripada sebuah organisasi kewartawanan penyiasatan yang disebut CIPER yang memperoleh salinan dokumen kementerian kesihatan negara itu yang dikirimkan kepada WHO.

Berikutan itu, Manalich menghadapi kritikan yang semakin meningkat terhadap cara Kementerian Kesihatan mengira kematian COVID-19.

Timbalan Menteri Kesihatan, Paula Daza menjelaskan perbezaan jumlahnya dengan memaklumkan bahawa angka kematian yang lebih tinggi diberi kepada WHO termasuk kematian COVID-19 yang disahkan dan disyaki, sementara laporan harian kerajaan adalah kes yang disahkan oleh ujian swab.