Tentera Udara China dilaporkan telah menjalankan latihan ketenteraan termasuk latihan untuk mendaratkan pesawat pengebom di pulau dan terumbu karang di Laut China Selatan, kawasan yang menjadi pertikaian serantau.

“Satu Divisyen Udara Tentera Pembebasan Rakyat China (PLAAF) baru-baru ini telah melancarkan latihan termasuk mendaratkan pesawat pengebom H-6K dan berlepas di atas pulau-pulau dan terumbu karang di Laut China Selatan.

"Ini bagi memperbaiki tahap kemampuan tentera “untuk sampai di wilayah dituju serta melancarkan serangan pada bila-bila masa dan dari mana-mana arah," menurut satu kenyataan yang dikeluarkan tentera pada Jumaat.


Kenyataan itu dimuat naik di atas laman mikro Weibo, namun tidak dinyatakan dimanakah lokasi sebenar latihan.

Sebelum ini, Amerika Syarikat telah mengerahkan kapal-kapal perang negara itu ke Laut China Selatan, tindakan yang dilihat untuk mencabar tuntutan China di rantau itu sekali gus meningkatkan 'bahang' pertikaian.

Selain China, negara seperti Vietnam, Filipina, Taiwan, Brunei dan Malaysia turut menuntut hak ke atas rantau itu.


Jurucakap Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, Pentagon dalam reaksinya berkata Amerika Syarikat komited terhadap kawasan Indo-China yang bebas dan terbuka.

“Kami telah melihat laporan itu dan akan terus memantau usaha China untuk menjadikan rantau Laut China Selatan sebagai kawasan tentera yang akan menjadikan kawasan serantau tegang dan tidak stabil.”

"China mendakwa latihannya di kepulauan Spratly adalah satu tindakan pertahanan dan ia boleh melakukan apa sahaja di atas wilayah yang didakwa miliknya."

Sementara itu Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pada Sabtu mengulangi pendirian Manila tidak mahu berkonfrontasi dengan China, malah bersedia bekerjasama dengan negara itu dalam usaha eksplorasi dan pembangunan di kawasan perairan yang dipercayai kaya dengan minyak dan gas.

BACA:
Filipina tidak akan mampu melawan China - Presiden Duterte