KERAJAAN China telah meluluskan undang-undang baharu dengan misi untuk 'membimbing semula Islam' dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurut laporan akhbar Global Times, selepas pertemuan perwakilan kerajaan bersama lapan persatuan yang mewakili masyarakat Islam, pihak kerajaan telah bersetuju untuk 'membimbing Islam agar sesuai dengan sosiallisme' dan lebih penting menjrus ke arah semangat negara bangsa 'China'.


Menurut PBB, ada sejuta umat Islam Uyghur dipaksa untuk murtad - Foto Fail

Walau bagaimanapun tiada butiran lanjut berhubung nama persatuan yang dikatakan telah bersetuju dengan keputusan terbabit.

Kerajaan China telah memulakan kempen agresif ke atas komuniti Islam di China sejak beberapa tahun kebelakangan.

Hal ini kerana pengamalan agama Islam dilarang keras di beberapa bahagian di China selepas terdapat beberapa individu ditangkap kerana menunaikan solat, berpuasa, menyimpan janggut mahupun memakai tudung kepala.

Menurut Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), dianggarkan lebih sejuta umat Islam Uighur telah dipaksa untuk murtad serta memperakui kesetiaan kepada Parti Komunis yang memerintah secara ateis (tanpa percaya kepada tuhan).

Bagi kumpulan hak asasi manusia pula, mereka berkata kerajaan China melakukan kempen pembersihan etnik.

Tetapi pada Ogos 2018, akhbar Washington Post melaporkan dunia 'tidak boleh abaikan' kempen menentang umat Islam.

Memburukkan keadaan, Associated Press melaporkan sebarang aktiviti pendidikan termasuklah pengajian agama, kelas Bahasa Arab telah dilarang sama sekali.

Minggu lalu sahaja, pihak berkuasa di Yunnan di sempadan Myanmar telah menutup tiga buah masjid yang dibangunkan untuk kumpulan etnik minoriti Hui Muslim seperti yang dilaporkan South China Morning Post.