PRESIDEN Xi Jinping menyifatkan negara itu dalam keadaan situasi yang getir akibat penularan koronavirus yang semakin cepat tersebar.

Pada Ahad, China mencatat 54 kematian dan sebanyak 1,610 kes jangkitan akibat koronavirus, dengan 323 antaranya yang baru disahkan.

“Berdepan dengan situasi getir susulan penularan pneumonia akibat jangkitan novel koronavirus, kita perlu meningkatkan kepimpinan yang berpusat dan bersatu di bawah parti induk,” katanya pada Sabtu.

Namun, Xi yakin mereka mampu menangani penularan virus itu, katanya selepas mengadakan taklimat kepada enam pemimpin tertinggi Parti Komunis di Wuhan.

“Kami yakin boleh menang dalam melawan epidemik ini menerusi tindakan pencegahan dan pengawalan,” kata beliau.

Berikutan pertemuan itu, Parti Komunis akan memperkenalkan satu kumpulan kepimpinan kecil khusus bagi menangani krisis tersebut menerusi koordinasi yang lebih berpusat.

Xi turut menuntut agar lebih banyak usaha digerakkan untuk meningkatkan bekalan perubatan, yang menurut para doktor di Wuhan, tidak mencukupi.

Kerajaan China berjanji untuk bekerjasama secara lebih telus berbanding dengan sebelum ini ketika berdepan dengan krisis penularan SARS dan mendapat pujian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) atas inisiatif itu.

Hospital kecemasan kedua akan dibina di Wuhan dalam masa beberapa minggu ini untuk mengendalikan 1,300 pesakit baru, dan akan siap dalam masa setengah bulan, menurut akhbar People's Daily.

Ia merupakan projek pembinaan pesat kedua seumpamanya; kerja-kerja membina satu lagi hospital yang mempunyai 1,000 katil telah pun bermula.