Kerajaan China hari ini mempertahan tindakan dutanya ke Malaysia, Huang Huikang selepas dipanggil Wisma Putra untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya yang mengutuk diskriminasi kaum dan ekstremisme.

Jurucakap Kementerian Luar Negara China, Hong Lei berkata 'lawatan muhibah' Huang pada Jumaat lalu adalah “normal” memandangkan beliau hanya melawat komuniti masyarakat Cina di Jalan Petaling sempena perayaan pertengahan musim luruh.

Beliau turut berkata kerajaan China tidak akan campur tangan urusan politik dan dalaman negara lain.

“China dan Malaysia mempunyai jalinan hubungan yang baik. Kami berharap Malaysia mampu mengekalkan perpaduan, kestabilan dan keharmonian etnik dalam negaranya,” jelas Hong dalam satu taklimat media hari di sini, hari ini.

Pada Jumaat lalu, Huang mengadakan satu lawatan ke Jalan Petaling, sebuah pusat pelancongan popular yang turut dikenali sebagai Chinatown.

Huang dalam lawatan itu berkata negara China mengecam golongan yang menggunakan keganasan dalam usaha mengganggu ketenteraman awam.

Beliau juga dilaporkan berkata kerajaan China cintakan keamanan sesama kaum dalam hubungan antarabangsa dan tidak akan masuk campur dalam mana-mana isu domestik negara-negara lain.

Kenyataannya itu dikatakan merujuk kepada cadangan mengadakan perhimpunan pro-Melayu di Kuala Lumpur baru-baru ini yang menuntut penyertaan orang Melayu dipertingkatkan dalam perniagaan di Jalan Petaling.

Berhubung kenyataannya itu, Kementerian Luar berkata Huang akan dipanggil untuk menjelaskan kenyataannya yang "menarik perhatian dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat Malaysia".

Huang dilaporkan telah bertemu Pemangku Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin hari ini.

Sebelum ini, penasihat sosio-budaya kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim turut berkata, kenyataan huang di Jalan Petaling itu dilihat mengganggu urusan kerajaan Malaysia sekali gus di luar konteks kedutaan China sendiri.