Cimpanzi culik kanak-kanak sebelum dijadikan santapan!

Mengerikan, namun itu situasi yang berlaku di kawasan pedalaman di Uganda apabila habitat haiwan berkenaan dilaporkan semakin mengecil.

Seorang wanita, Ntegeka Semata, merupakan salah seorang ibu yang terpaksa berdepan dengan kehilangan anaknya.

Menurut laporan National Geographic, Ntegeka menceritakan saat cemas ketika seekor cimpanzi jantan meluru ke arah anak lelakinya sebelum dibunuh.

“Seekor cimpanzi muncul di halaman rumah ketika saya sedang bercucuk tanam. Haiwan itu mengambil kesempatan dengan merampas anak saya, Mujuni, yang berusia dua tahun.

“Tangan anak saya dipatahkan. Kepala anak saya cedera sebelum perutnya dirobek tanpa belas kasihan. Dan ia melahap buah pinggang anak saya,” katanya.

Kanak-kanak itu gagal diselamatkan dan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak terbunuh manakala 12 lagi cedera sejak 2014 melibatkan serangan cimpanzi.

Sementara itu, seorang kanak-kanak, Maculate Rukundo, turut menjadi mangsa dan diculik semasa ibunya sedang menanam jagung pada 2017.

Tragedi itu amat membimbangkan sebelum penduduk kampung menjejaki kumpulan haiwan berkenaan sebelum menemui mayat seorang kanak-kanak perempuan bersama ususnya di dalam kolam yang dipenuhi darah.

Dalam pada itu, Pihak Berkuasa Hidupan Liar Uganda (UWA) berkata, tiada apa yang boleh dilakukan berhubung aktiviti penebangan hutan, sekali gus usaha menghentikan serangan cimpanzi di kawasan itu.

Pengarah Eksekutif UWA Sam Mwandha turut memberi penjelasan sama.

“Malangnya, sukar untuk kami menghalang aktiviti penebangan hutan. Kami hanya boleh merayu agar pihak yang terlibat akan lebih menghargai hutan,” jelasnya.