Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

COVID-19: 1.41 juta dijangkiti di seluruh dunia, lebih 80,000 kes baharu dalam 24 jam

COVID-19: 1.41 juta dijangkiti di seluruh dunia, lebih 80,000 kes baharu dalam 24 jam
Angka jangkitan COVID-19 seluruh dunia kini mencecah 1.41 juta setakat jam 6 pagi hari ini.
ANGKA jangkitan COVID-19 seluruh dunia kini mencecah 1.41 juta setakat jam 6 pagi hari ini.

Ini membabitkan pertambahan lebih 80,000 kes positif dalam tempoh 24 jam.

Sejak mencapai angka 1 juta pada Jumaat lepas, bilangan kes positif hanya mengambil masa lima hari untuk pertambahan 411,000 kes.

Menurut data Johns Hopkins University, kini terdapat lima negara yang telah melepasi angka 100,000 kes positif pandemik tersebut.
Amerika Syarikat kekal menjadi negara paling terjejas teruk apabila mencatatkan 387,574 kes positif.

Sepanyol dan Itali berada di kedudukan kedua dan ketiga apabila masing-masing mencatatkan 140,618 dan 135,586 kes.
Perancis kini melepasi Jerman untuk berada di kedudukan keempat kes positif COVID-19 dengan angka keseluruhan 110,049 kes.

Manakala Jerman menjadi negara kelima dengan 107,591 kes.

Dalam pada itu, angka kematian akibat pandemik ini telah melebihi 81,000 mangsa di seluruh dunia dengan jumlah keseluruhan 81,200 terkorban.

Perancis hari ini menyertai tiga lagi negara lain yang mempunyai mangsa korban akibat wabak itu melepasi angka 10,000 kes.

Itali masih kekal menjadi menjadi negara paling teruk mencatatkan kes kematian dengan jumlah 17,127.

Sepanyol pula di kedudukan kedua apabila merekodkan 13,912 kematian, manakala Amerika Syarikat di kedudukan ketiga dengan 12,291 kematian.

Perancis dan United Kingdom berada di kedudukan keempat dan kelima dengan masing-masing mencatatkan 10,328 dan 6,159 kematian.

Secara keseluruhan, angka kematian akibat COVID-19 dalam tempoh 24 jam lalu di seluruh dunia menyaksikan pertambahan lebih 7,000 kes sehari.

Negara yang pada mulanya tercetus wabak ini pada awal Disember lepas, China, kini tidak lagi berada pada kedudukan lima negara teratas dalam kes positif dan juga jumlah kematian akibat COVID-19.

Kebanyakan kes baharu di China juga kini hanya melibatkan kes import dan kebanyakan kawasan di negara Tembok Besar itu kini sekatannya telah beransur-ansur longgar.

Walaupun dengan jumlah kes positif dan kematian yang tinggi di seluruh dunia, namun terdapat hampir

300,000 pesakit COVID-19 yang telah sembuh dengan pertambahan 22,791 dalam tempoh 24 jam lalu.