Sebanyak 108 kes baharu direkodkan di Victoria, Australia setakat Sabtu memaksa pihak berkuasa mengenakan perintah berkurung di sembilan kawasan perumahan dan tiga bandar lagi di Melbourne.

Menurut Ketua Negeri, Daniel Andrews, kira-kira 3,000 penduduk tempatan terkesan akibat pelaksanaan tersebut.

"Kira-kira 3,000 penduduk tempatan akan terkesan dalam pelaksanaan perintah berkurung ini termasuk orang dewasa dan kanak-kanak.

"Mereka adalah penduduk di sembilan kawasan perumahan yang menghimpunkan sejumlah besar penduduk tempatan," katanya.

BACA: COVID-19: Perintah berkurung dikuatkuasakan semula di Victoria

Mereka yang berada di bawah perintah itu di Flemington dan Kensington akan mendapat bekalan makanan dan ubat-ubatan oleh pihak berkuasa.

Manakala penduduk di kawasan pinggir bandar Kensington, Flemington dan utara Melbourne akan menyertai 36 daerah lain di bawah perintah berkurung fasa ketiga.

Ini bermakna mereka hanya boleh keluar rumah bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan, ubat-ubatan, bersenam dan ke tempat kerja.

Setakat ini, wilayah Victoria mencatatkan 509 kes aktif COVID-19 dengan 25 daripadanya sedang menerima rawatan di hospital.

Australia secara keseluruhan mencatatkan jumlah kumulatif kes 8,362 dengan 104 kematian.