Korea Selatan melakukan ujian saringan kesihatan terhadap 176 pekerja kargo di pelabuhan selatan Busan selepas 16 anak kapal kargo Rusia disahkan positif COVID-19.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan negara itu, Kwon Jun-wook, kesemua 21 anak kapal yang membawa makanan laut beku disaring selepas tiba di pelabuhan Gamcheon Busan pada Ahad.

“Kesemua 16 anak kapal kargo Rusia yang dijangkiti membawa makanan laut beku. Tiga menunjukkan simptom ketika proses saringan, jadi kami melakukan saringan kesihatan terhadap kesemua anak kapal yang berjumlah 21 orang.

“Keputusan saringan menunjukkan 16 anak kapal dijangkiti setakat ini,” jelasnya.

Jun-wook menjelaskan, kapten kapal tersebut tidak memaklumkan pihak berkuasa tentang keadaan kesihatan tiga anak kapal yang mengalami demam panas.

Susulan penularan itu, pegawai pelabuhan bersetuju untuk menghentikan muatan kargo dari kapal Rusia lain.

Setakat Selasa, Korea Selatan mencatatkan 12,484 kes positif COVID-19 dengan 281 kematian.