Singapura melaporkan sejumlah 188 kes baharu jangkitan COVID-19 bagi tempoh 24 lepas, dengan 12 daripadanya adalah kes import dan satu kes dalam komuniti.

Tiada kluster baharu dikesan semalam dan angka terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan dalam republik itu kini 55,292 kes.

Menurut data ringkas yang dikeluarkan di sini oleh Kementerian Kesihatan Singapura hari ini, semua kes import melibatkan mereka yang dikenakan arahan Notis Tinggal di Rumah, sebaik tiba di Singapura dan kes dalam komuniti didapati melibatkan seorang rakyat Singapura.

Majoriti kes melibatkan pemegang permit kerja dan mereka kini menjalani kuarantin.

Dalam data penuh yang dikeluarkan hujung Ahad, kementerian itu berkata ujian ke atas semua asrama telah dilaksanakan pada 5 Ogos, dengan sebahagian ujian masih sedang diproses.

Kementerian itu berkata ketika ini kira-kira 23,500 pekerja masih menjalani tempoh pengasingan di kemudahan kuarantin.

"Kumpulan pekerja ini akan diuji apabila tempoh pengasingan mereka tamat, dan kita jangka jumlah kes kekal tidak berubah dalam beberapa hari akan datang, sebelum jumlahnya kemudian mulai berkurangan," menurut kementerian itu.

Sehingga tengah hari semalam, Singapura mengklasifikasikan 748 daripada kes-kes yang dilaporkan adalah kes import, manakala 2,192 adalah kes dalam komuniti, dan 52,164 sebagai kes melibatkan penghuni asrama.

Sejumlah 48,915 pesakit atau kira-kira 89 peratus, telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan jagaan komuniti di sini.

Sementara itu 135 kes yang disahkan masih berada di hospital, namun tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.

Sejumlah 6,027 kes simpton ringan, atau sihat secara klinikal namun masih diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan dijaga di kemudahan komuniti.

Sehingga kini 27 orang telah meninggal dunia akibat pelbagai komplikasi yang berkaitan dengan jangkitan COVID-19 di Singapura.

-- BERNAMA