Angka jangkitan COVID-19 seluruh dunia kini mencecah 1.26 juta setakat jam 6 pagi waktu Malaysia, hari ini (6 April).

Jumlah jangkitan hanya mengambil masa selama tiga hari untuk pertambahan sebanyak 263,000 kes apabila keseluruhan jangkitan melepasi angka 1 juta pada, Jumaat lalu.

Menurut data daripada Johns Hopkins University, sebanyak empat buah negara kini telah melepasi angka 100,000 kes positif virus tersebut.

Amerika Syarikat kekal menjadi negara yang paling terjejas teruk akibat wabak itu apabila mencatatkan 331,234 kes positif.

Sepanyol dan Itali berada di kedudukan kedua dan ketiga apabila masing-masing mencatatkan jumlah 130,854 kes dan 128,948 kes.

Jerman kini menjadi negara keempat yang mempunyai jumlah kes positif melepasi 100,000 iaitu keseluruhannya 100,024 kes.

Sementara itu, Perancis mempunyai 93,755 kes positif COVID-19 dan dijangka melepasi angka 100,000 dalam masa beberapa hari lagi.

Dalam pada itu, angka kematian akibat pandemik ini telah mencecah hampir 70,000 mangsa di seluruh dunia dengan keseluruhan 68,413 kematian.

Itali masih kekal menjadi menjadi negara paling teruk mencatatkan kes kematian dengan jumlah 15,887 kes.

Sepanyol pula menjadi negara kedua apabila merekodkan 12,518 kematian manakala Amerika Syarikat di kedudukan ketiga dengan 9,458 kematian.

Sementara Perancis dan United Kingdom berada di kedudukan keempat dan kelima dengan masing-masing mencatatkan 12,518 dan 8,078 kematian.

Negara di mana mulanya tercetus wabak ini pada awal Disember lepas, China kini tidak lagi berada pada lima negara teratas dalam kes positif dan juga jumlah kematian akibat COVID-19.

Kebanyakan kes baharu di China juga kini hanya melibatkan kes import dan kebanyakan kawasan di negara Tembok Besar itu kini sekatannya telah beransur-ansur longgar.

Walaupun dengan jumlah kes positif dan kematian yang tinggi di seluruh dunia, namun terdapat 258,588 kes pesakit COVID-19 yang telah sembuh setakat ini.

http://img.astroawani.com/2020-03/61584239587_banner.jpg