Angka kematian akibat COVID-19 kini mencecah 108,000 di seluruh dunia setakat jam 6 pagi waktu Malaysia hari ini.

Menurut data Johns Hopkins University, terdapat peningkatan sebanyak 7,000 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.

Amerika Syarikat (AS) kini merekodkan jumlah korban paling tinggi, melepasi Itali, apabila ia satu-satunya negara dengan angka kematian melebihi 20,000.

Itali pula di kedudukan kedua dengan kematian melebihi 19,000.

Sepanyol dan Perancis masing-masing mencatatkan kes kematian sebanyak 16,353 dan 13,832, manakala di United Kingdom (UK) seramai 9,875 mangsa.

Sementara itu, kes positif COVID-19 di seluruh dunia pula kini mencapai 1.76 juta - pertambahan 90,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Lima negara mempunyai kes positif COVID-19 melebihi angka 100,000.

AS kekal menjadi negara paling teruk terjejas apabila mencatatkan 519,453 kes jangkitan.

Ini diikuti Sepanyol dan Itali apabila masing-masing mencatatkan 161,852 dan 152,271 kes secara keseluruhan.

Manakala Perancis dan Jerman berada di kedudukan keempat dan kelima dengan angka jangkitan masing-masing sebanyak 130,727 dan 123,878 kes.

Negara dengan jumlah jangkitan melebihi 70,000 kes termasuk China (83,014), UK (79,865) dan Iran (70,029).


Terbaru, Turki pada Sabtu mencatatkan kes positif melebihi 50,000 dengan keseluruhan 52,167.

Sehingga kini, COVID-19 telah menular di 185 negara dengan kes pesakit yang pulih melebihi 400,000.