KETIKA ini lebih banyak sektor industri mula dibuka secara berperingkat di beberapa negara Eropah.

Di Itali dan Sepanyol, pelbagai langkah diambil di kilang-kilang untuk memastikan pekerja dilindungi dan operasi dapat dibuka.

Di Genoa, Itali, lebih 170 pekerja syarikat pembinaan kapal, Fincantieri mula bekerja minggu ini di pusat pembinaan kapal terbesar di Eropah.

Penyambungan pekerjaan ini dilakukan tujuh minggu selepas Itali mengumumkan arahan ketat tinggal di rumah.

Sebelum ini, Itali mengumumkan perusahaan yang ingin menyambung kembali operasi harus mengambil langkah keselamatan dan kesihatan di premis masing-masing.

Fincantieri mempunyai lebih 3,000 pekerja dan pembukaan dilakukan dengan membenarkan lima peratus tambahan pekerja setiap minggu.

Sementara itu Fiat Chrysler Automobiles turut menyambung operasi pengeluaran di kilang terbesar di Itali.

Ia turut mengambil langkah keselamatan dan kesihatan untuk mengekang penularan COVID-19 di kilang berkenaan.

Di kilang Atessa Cevel yang memasang trak kecil dan lori, 6,000 pekerja digaji.

Majikan membekalkan pekerja dengan sarung tangan dan topeng muka.

Dalam masa yang sama, kepingan plastik jernih diletakkan di antara pekerja yang bekerja dalam kumpulan dua orang.

Kamera dengan pengukur suhu badan turut diletakkan di kawasan pintu masuk.

Langkah lain yang diambil termasuk 600 tempat membersihkan alatan yang digunakan ketika tamat syif bekerja.

Ini adalah langkah yang dicapai majikan, kesatuan sekerja dan kerajaan.

Langkah sama turut digunakan di pejabat.

Dalam masa yang sama, pekerja turut digalakkan bekerja di luar pejabat untuk memastikan jumlah pekerja yang rendah di pejabat pada satu-satu masa.

Jualan kereta di Eropah juga dilaporkan jatuh 55 peratus pada Mac selepas langkah tinggal di rumah turut memaksa pengedar untuk tidak beroperasi.

Dalam masa yang sama, penularan COVID-19 turut mengeluarkan pengeluaran 1.2 juta kenderaan di Eropah.

Industri auto menyumbang tujuh peratus kepada KDNK Eropah.

Di Sepanyol, pengeluaran untuk jenama Seat disambung selepas arahan kekal di rumah selama enam minggu.

Kilang Seat berdekatan Barcelona mengedarkan topeng muka dan sarung tangan kepada pekerja ketika mereka tiba pada waktu pagi.

Majikan turut meletakkan tanda mengingatkan pekerja untuk mengekalkan jarak dua meter.

Dalam masa yang sama, tombol pintu turut diubah suai untuk mengelakkan pekerja menyentuh dengan jari mereka.

Ketika ini Seat beroperasi dengan hanya satu syif.

Ia akan ditingkatkan dalam minggu-minggu akan datang dan dijangka sampai kepada kapasiti penuh pra-COVID-19 pada Jun.

Seat dalam masa yang sama akan mengadakan saringan ke atas semua 5,000 pekerjanya.