Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

COVID-19: Boris Johnson dimasukkan ke hospital

COVID-19: Boris Johnson dimasukkan ke hospital
Boris Johnson masih menunjukkan simptom suhu tinggi 10 hari selepas disahkan positif COVID-19. REUTERS.
PERDANA Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson dimasukkan ke hospital pada Ahad untuk menjalani ujian lanjut kerana masih menunjukkan simptom selepas 10 hari disahkan positif COVID-19.

Menurut Downing Street, ia dilakukan sebagai "langkah berjaga-jaga” kerana beliau mempunyai suhu badan yang tinggi.

“Atas nasihat doktor, Johnson telah dimasukkan ke hospital malam ini untuk menjalani beberapa ujian,” kata Downing Street dalam satu kenyataan.

“Ia adalah langkah berjaga-jaga, memandangkan perdana menteri masih menunjukkan simptom koronavirus secara berterusan 10 hari selepas disahkan positif.”
Namun, beliau kekal menerajui kerajaan British ketika ini.

Laporan tersebut dikeluarkan hanya satu jam selepas perutusan khas Ratu Elizabeth II yang menggesa rakyatnya untuk mematuhi arahan kerajaan supaya dapat mengatasi pandemik COVID-19.
Johnson, 55 tahun, pada 26 Mac menjadi pemimpin negara pertama disahkan positif koronavirus dan telah menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari.

Jumaat lalu, beliau dalam satu video menerusi Twitter berkata: “Walaupun saya rasa lebih baik dan telah menjalani tempoh pengasingan tujuh hari, namun saya masih mempunyai simptom suhu badan tinggi.”

Selain Johnson, Menteri Kesihatan negara itu, Nadine Dorries turut positif COVID-19.

Sehingga kini, angka kematian di UK akibat koronavirus meningkat sebanyak 621 kepada 4,934 manakala jumlah kumulatif kes positif adalah 47,806.



Tag: Boris Johnson, COVID-19, koronavirus, coronavirus, London, United Kingdom, UK, NHS, Downing Street



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.