Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

COVID-19: Boris Johnson stabil, tidak perlu ventilator

COVID-19: Boris Johnson stabil, tidak perlu ventilator
Boris Johnson dilaporkan stabil pada malam pertama di ICU di London. -Gambar fail
LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson dilaporkan stabil pada malam pertama di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital di London.

Menurut jurucakap Downing Street, keadaan beliau stabil dan sedang menerima rawatan oksigen tanpa bantuan lain.

"Dia tidak memerlukan pengudaraan mekanikal atau sokongan pernafasan yang tidak invasif," kata jurucakap itu sambil menambah bahawa Johnson tidak menghidap radang paru-paru.

Johnson, 55, mengumumkan beliau positif jangkitan koronavirus pada 27 Mac dan berada dalam tempoh pengasingan diri.

Selepas demam lebih seminggu, beliau kemudian dimasukkan ke hospital Guy dan St Thomas di London pada Ahad dan dipindahkan ke penjagaan intensif pada petang Isnin susulan keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

BACA:Boris Johnson dipindah ke ICU


"Sepanjang petang (Isnin), keadaan Johnson semakin buruk dan atas nasihat pasukan perubatan, dia telah dipindahkan ke ICU," jelas satu kenyataan.

Johnson telah meminta Setiausaha Luar Negeri, Dominic Raab untuk menggantikannya.


Semasa taklimat harian pada Selasa, Raab memberitahu Johnson bernafas tanpa bantuan selain tidak memerlukan sokongan pernafasan.

"Dia tetap bersemangat, selaras dengan amalan klinikal biasa, perkembangan kesihatannya terus dipantau dengan teliti.

"Saya yakin dia akan berjaya. Jika ada satu perkara yang saya tahu tentang perdana menteri, dia adalah seorang pejuang," kata Raab.

Menurut Kementerian Kesihatan di sana, pada petang Selasa, seramai 6,159 orang di Britain telah meninggal dunia akibat COVID-19 dan lebih daripada 55,000 orang telah disahkan positif.

Jurucakap perdana menteri pada Selasa berkata Raab dan Kabinet mempunyai kuasa untuk memutuskan isu keselamatan negara semasa ketiadaan Johnson, tetapi Raab dilihat tidak mempunyai kuasa untuk mengawal jemaah menteri.

Jika Raab tidak dapat memimpin, setiausaha pertama negara, Rishi Sunak, akan memimpin kerajaan.


Sebelum dipindahkan ke hospital, Johnson di dalam tweetnya memberitahu, ke hospital atas nasihat doktor dan menjalani berapa ujian rutin kerana mengalami gejala koronavirus.

"Saya bersemangat dan terus berhubung dengan pasukan ketika kita bekerjasama untuk melawan virus ini dan memastikan semua orang selamat.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua kakitangan NHS yang menjaga saya dan orang lain dalam masa yang sukar ini, anda adalah yang terbaik di Britain.

"Kekalkan semua orang dan jangan lupa, tinggal di rumah untuk melindungi NHS dan menyelamatkan nyawa," katanya dalam Tweet berkenaan.

Ratu Elizabeth II juga sentiasa dimaklumkan tentang kesihatan Johnson.

Ketika Johnson di dalam proses untuk pulih, para pemimpin dunia memberi penghormatan kepadanya sebagai tokoh politik di United Kingdom yang merentasi spektrum.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berkata telah mengenali Johnson sebagai seorang lelaki yang luar biasa.

BACA:Trump sedih dengan perkembangan kesihatan Boris Johnson

Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pula berharap untuk pemulihan penuh dan pantas kepada rakan sejawatannya di Britain.

Sementara, pemimpin pembangkang baru Parti Buruh, Keir Starmer berkata situasi adalah sangat menyedihkan dan semua ingatan kepada Johnson pada saat yang sukar kini.

Sementara itu, Jeremy Corbyn berkata, ingatannya adalah kepada Johnson dan keluarganya selain mengucapkan terima kasih kepada kakitangan NHS atas kerja keras dan dedikasi mereka.