India, negara Asia yang merekodkan jumlah jangkitan tertinggi COVID-19, melaporkan peningkatan jangkitan harian tertinggi pada Jumaat, menjadikan jumlah kes positifnya kini melebihi dua juta.

Negara itu mencatat 62,538 jangkitan baharu pada Jumaat, menjadikan jumlah keseluruhan 2.03 juta kes.

Ini menjadikan India negara ketiga yang melepasi angka itu, di belakang Amerika Syarikat dan Brazil.

Dengan jangkitan yang semakin merebak ke bandar-bandar kecil dan kawasan luar bandar, pakar memberi amaran wabak berkenaan itu sebenarnya belum mencapai puncak di India, sekali gus memberi tekanan lebih besar terhadap sistem penjagaan kesihatan.

"Negara sebesar India akan melalui banyak fasa jangkitan yang berbeza," kata Rajib Dasgupta, ketua Pusat Perubatan Sosial dan Kesihatan Komuniti di Universiti Jawaharlal Nehru di New Delhi.

Perdana Menteri Narendra Modi menguatkuasakan perintah berkurung bermula 25 Mac, menyaksikan pergerakan orang ramai dari bandar ke kampung secara besar-besaran.

Beberapa negeri menunjukkan lonjakan kes dalam beberapa minggu kebelakangan ini susulan pelonggaran perintah berkurung bagi memulihkan ekonomi.