Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

COVID-19: Indonesia, Singapura catat kes baharu, Thailand lanjut larangan sementara penerbangan

COVID-19: Indonesia, Singapura catat kes baharu, Thailand lanjut larangan sementara penerbangan
Perkembangan kes COVID-19 di negara Asia - Indonesia, Singapura dan Thailand
KES positif COVID-19 di Indonesia dalam tempoh 24 jam yang lepas, terus meningkat kepada 56,385  kes, dengan 71 lagi kematian.

Presiden Indonesia Joko Widodo menerusi ciapan di twitter rasminya mengarahkan pemerintah provinsi agar tidak melonggarkan peraturan pembatasan sosial berskala besar (PSBB), sekiranya kes positif virus itu berterusan meningkat.

Beberapa provinsi termasuk Jakarta, mula menerapkan proses transisi atau pemulihan PSBB, yang membenarkan beberapa aktiviti sosio ekonomi dibuka sejak pertengahan Jun lalu termasuk  pembukaan rumah ibadat, kebenaran bekerja di pejabat, pembukaan pusat beli belah dan rekreasi.
Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 893 kes, diikuti provinsi Jakarta (632 kes), Kalimantan Selatan (189), Jawa Barat (176) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Singapura catat 246 kes baharu jangkitan 

Singapura pula melaporkan 246 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan enam kes dalam komuniti, menjadikan jumlahnya 43,907 kes.

Kementerian Kesihatan (MOH) memaklumkan kes komuniti melibatkan tiga rakyat Singapura atau penduduk tetap dan tiga pemegang pas pekerja.

Kes baharu yang lain melibatkan pekerja asing yang ditempatkan di asrama.

Sehingga kini, 26 orang dilaporkan maut  makibat komplikasi COVID-19 dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

CAAT lanjut larangan sementara penerbangan antarabangsa

Sementara itu, Thailand melaporkan dua kes baru COVID-19, yang kembali dari Qatar, meningkatkan jumlah kes menjadi 3,171 kes.

Daripada semua 3,171 kes yang disahkan positif 3,056 pesakit COVID-19 pulih sepenuhnya dan 57 kes dirawat di hospital.

Angka kematian kekal pada 58.

Dalam pada itu, pihak Berkuasa Penerbangan Awam Thailand (CAAT) melanjutkan lagi larangan sementara untuk penerbangan antarabangsa.

Bagaimanapun, penerbangan yang membawa 11 kategori pelancong asing dibenarkan masuk ke republik itu bermula Rabu.

Ketua Pengarah CAAT, Chula Sukmanop berkata larangan itu tidak tertakluk kepada pesawat negara atau tentera, pendaratan kecemasan, pendaratan teknikal tanpa menurunkan penumpang, penerbangan kemanusiaan, perubatan atau bantuan, penerbangan membawa pulang warganegara dan penerbangan kargo.


Tag: COVID-19, Asia, Indonesia, Singapura, Thailand



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.