Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

COVID-19: Institusi pendidikan, venue sukan, pusat hiburan ditutup sementara dua minggu

COVID-19: Institusi pendidikan, venue sukan, pusat hiburan ditutup sementara dua minggu
PRAYUTH: Aktiviti yang membabitkan lebih 100 orang perlu ditangguhkan seketika atau dibatalkan manakala venue di mana orang ramai sering berkumpul hendaklah ditutup sementara. - Gambar fail
BANGKOK: Semua institusi pendidikan termasuk sekolah tempatan dan antarabangsa, universiti serta pusat tuisyen di Thailand akan ditutup sementara selama dua minggu mulai 18 hingga 31 Mac, yang merupakan antara langkah negara itu bagi memerangi penularan wabak COVID-19.

Langkah itu diumumkan Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan o-cha bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negara itu.
Prayuth berkata venue sukan termasuk stadium, stadium tinju dan venue lumba kuda di negara itu akan ditutup dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata semua pusat hiburan - pub, bar, pawagam dan pusat urut di Bangkok dan kawasan sekitarnya akan turut ditutup selama dua minggu. Bagaimanapun, di wilayah lain, terpulang kepada gabenornya untuk membuat keputusan.
Katanya kedai dan restoran, pasar raya, pusat beli-belah dan stesen pengangkutan awam kekal dibuka namun akan mengenakan prosedur pembersihan dan disinfeski yang ketat bagi mengurangkan jangkitan.

"Tiada langkah sekatan keluar masuk di negara ini meskipun terdapat peningkatan berterusan kes COVID-19.

"Bagaimanapun, aktiviti-aktiviti yang membabitkan lebih 100 orang perlu ditangguhkan seketika atau dibatalkan manakala venue di mana orang ramai sering berkumpul hendaklah ditutup sementara bagi mengekang penularan wabak itu," katanya pada sidang akhbar di sini pada Selasa.

Mesyuarat Kabinet pada Selasa turut bersetuju menangguhkan sambutan dan cuti umum Pesta Songkran dari 13 hingga 15 April susulan penularan wabak COVID-19. Tarikh baharu akan diumumkan pada masa akan datang.

Thailand pada Selasa melaporkan sejumlah 30 kes jangkitan baharu COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini ialah 177 kes dengan satu kematian sejak penularan wabak itu pada Januari.

Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam Sukhum Kanchanaphimai berkata 11 kes baharu dikaitkan dengan satu perlawanan Muay Thai, sembilan merupakan mereka yang pulang ke Thailand dari luar negara manakala kes lain adalah mereka yang bekerja rapat dengan warga asing.

Beliau berkata sejumlah 135 pesakit masih dirawat di hospital manakala 41 orang telah dibenarkan pulang.

Sementara itu, Pengarah Biro Penyakit Berjangkit Am Dr Sopon Iamsirithaworn berkata tiga daripada sejumlah 132 rakyat Thailand yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur telah diuji positif, setakat Selasa.

"Kami akan terus memantau jemaah lain yang menghadiri perhimpunan itu dan kontak rapat mereka," katanya.

-- BERNAMA