Tujuh wilayah di Jepun termasuk Tokyo, Osaka dan Fukuoka bakal melaksanakan perintah darurat bagi memerangi penularan COVID-19.

Menurut perdana menteri, Abe Shinzo, perintah berkenaan akan berlarutan selama sebulan bermula Selasa, lapor agensi berita AP.

Dalam satu kenyataan yang disiarkan secara langsung di televisyen tempatan, Abe bakal memperincikan perintah itu pada Selasa.

"Dengan pengisytiharan perintah darurat, Gabenor di wilayah masing-masing akan diberi kuasa untuk melaksanakan perintah kawalan pergerakan atau menutup premis perniagaan," katanya.

Abe turut dijangka mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berjumlah 108 trilion yen atau AS$1 trilion bagi mengurangkan impak ekonomi yang dirasai penduduk Jepun.

Aliran tunai kepada isi rumah yang memerlukan serta sokongan kewangan untuk melindungi perusahaan serta pekerjaan turut disertakan.

"Bagi isi rumah yang pendapatannya terjejas, bayaran 300,000 yen akan disalurkan.

"Selain itu, 2 juta yen akan disalurkan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan 1 juta yen bagi mereka yang bekerja sendiri," katanya.

Jepun juga akan mempertingkatkan penghasilan katil hospital bagi menampung keperluan semasa dengan sasaran 50,000 katil.

Sehingga Selasa, Jepun mencatatkan 3,654 kes jangkitan COVID-19 dengan 85 kematian.