SAMSUNG Electronics mengesahkan satu kes positif koronavirus COVID-19 di sebuah kompleks kilangnya di bandar Gumi, Korea Selatan.

Menurut jurucakap syarikat pembuatan telefon pintar tersebut, lantai yang menempatkan kakitangan yang dijangkiti virus itu akan ditutup hingga 25 Februari.

“Kesemua kakitangan yang didapati mempunyai kontak rapat bersama kakitangan yang dijangkiti itu telah dikuarantin serta diuji untuk virus tersebut,” kata Samsung dalam satu kenyataan media.

Syarikat Samsung di Gumi hanya mengeluarkan sebahagian kecil telefon pintar yang kebanyakannya tertumpu kepada bekalan domestik, manakala untuk pengeluaran antarabangsa lazimnya dibuat di Vietnam dan India.

Gumi terletak berdekatan dengan bandar Daegu, pusat penyebaran COVID-19 di Korea Selatan yang dipercayai berpunca daripada seorang wanita yang hadir ke sebuah gereja.

Korea Selatan mencatat 123 kes jangkitan terbaharu serta empat kematian akibat virus tersebut pada Ahad.

Jumlah keseluruhan kes jangkitan di Korea Selatan ialah 556 pada tengah hari Ahad.