TOKYO berada di fasa amaran tertinggi selepas merekodkan kadar peningkatan jangkitan kes baharu COVID-19 secara mendadak.

Gabenor Tokyo Yuriko Koike berkata, menurut kumpulan pakar, situasi semasa jangkitan di bandar raya itu berada di peringkat tertinggi sistem.

Sistem tersebut mempunyai empat peringkat dan kini berada di peringkat akhir yang bermaksud jangkitan semakin menular.

Yuriko berkata demikian selepas sekumpulan pakar berpendapat Tokyo merekodkan peningkatan penularan jangkitan dalam kalangan golongan muda, khususnya di kawasan yang mempunyai kehidupan aktif pada waktu malam, selain tempat kerja dan keluarga.

Perdana Menteri Shinzo Abe menarik balik perintah darurat di seluruh negara pada akhir Mei lalu, sebelum pentadbirannya meneliti semula kemungkinan mengembalikan langkah kawalan itu.

Bagaimanapun, jumlah kes baharu jangkitan COVID-19 mencatatkan peningkatan selepas darurat ditarik balik, termasuk di Tokyo, iaitu pusat penularan wabak berkenaan yang melaporkan 243 kes baharu, minggu lalu.

Ibu negara matahari terbit itu merekodkan sekitar 100 hingga 200 kes baharu setiap hari sejak awal Julai dengan jumlah pesakit yang dirawat di hospital hampir mencecah 700 orang.