KES positif COVID-19 di seluruh dunia kini merekodkan angka 2.96 juta orang setakat awal pagi Isnin, hanya 40,000 kes lagi sebelum mencapai tiga juta.

Data Johns Hopkins University menunjukkan pertambahan lebih 70,000 kes jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam dengan tujuh negara kini mempunyai angka positif melebihi 100,000.

Amerika Syarikat (AS) kekal negara paling teruk terjejas dan kumulatif kes positif kini 961,000.

Sepanyol dan Itali masing-masing mencatatkan 226,000 dan 197,000 kes.

Negara keempat dan kelima mempunyai kes positif yang tinggi adalah Perancis dan Jerman dengan masing-masing merekodkan 161,000 dan 157,000 kes.

Sementara United Kingdom dan Turki pula mempunyai kes positif 154,000 110,000 kes.

Jumlah pesakit COVID-19 yang telah sembuh daripada virus itu kini melebihi 861,000 di seluruh dunia.