KES positif COVID-19 di seluruh dunia terus meningkat dengan jumlah kumulatif melepasi 3.1 juta orang.

Data Johns Hopkins University menunjukkan kes positif di Amerika Syarikat (AS) tiada tanda-tanda akan reda apabila jumlah kumulatif kini melepasi sejuta orang.

BACA: AS negara tertinggi kes jangkitan melebihi 1 juta

Dalam tempoh 24 jam, tujuh negara kini mempunyai angka positif melebihi 100,000 dengan Sepanyol kekal kedua tertinggi dengan 232,000.

Ketika Itali mengumumkan bakal menarik balik sekatan pergerakan secara beransur-ansur, ia kini menjadi negara ketiga mempunyai kes positif COVID-19 melepasi 200,000 kes di dunia.

Pertambahan lebih 10,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kumulatif di Itali meningkat kepada 201,000.

Perancis merupakan negara keempat mempunyai kes positif yang tinggi dengan hampir 170,000 kes.

Manakala United Kingdom (UK) mengatasi Jerman dengan jumlah kumulatif 162,000 kes.

Sementara Jerman dan Turki masing-masing merekodkan 159,000 dan 114,000 kes.

Jumlah pesakit COVID-19 yang telah sembuh daripada virus itu kini melebihi 923,000 di seluruh dunia.