JUMLAH kes positif jangkitan COVID-19 kini melepasi 20 juta.

Menurut data Johns Hopkins University, terdapat pertambahan hampir 200,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam, menjadikan kumulatif terkini sebanyak 20,185,153 kes.

Amerika Syarikat kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan lebih 5.13 juta kes dilaporkan.

Ini diikuti Brazil dengan kes positif jangkitan sebanyak 3.05 juta manakala India 2.27 juta.

Rusia dan Afrika Selatan melepasi angka jangkitan setengah juta dengan masing-masing merekodkan 895,691 kes dan 566,109 kes.

Tujuh negara lain termasuk Mexico, Peru, Colombia, Chile, Iran, United Kingdom dan Sepanyol pula melepasi angka 300,000 kes positif COVID-19.

Lapan lagi negara merekodkan angka positif melebihi 200,000 termasuk Arab Saudi, Pakistan, Bangladesh, Argentina, Itali, Turki, Perancis dan Jerman.

Sementara itu, jumlah kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di seluruh dunia juga terus meningkat kepada 738,800 kes setakat pagi Rabu.

Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 164,603 diikuti Brazil (101,752), Mexico (53,003), India (45,257) dan United Kingdom (46,611).

Dalam pada itu, Itali dan Perancis pula maing-masing merekodkan 35,215 individu dan 30,327 individu.

Dua negara terakhir yang melepasi angka kematian 20,000 adalah Sepanyol dan Peru masing-masing dengan 28,581 dan 21,276.

Negara-negara lain masih merekodkan angka kematian di bawah 18,000 kes.