Syarikat insurans secara besar-besaran menghentikan perlindungan insurans bagi pekerja produksi filem dan televisyen bebas terhadap risiko penyakit COVID-19.

Reuters melaporkan, para penerbit dan pakar industri Hollywood menyifatkan langkah mengejutkan itu sebagai ancaman kepada pengeluaran produk hiburan bagi tahun 2021.

Ribuan sesi penggambaran di seluruh dunia terpaksa ditamatkan serta-merta pada Mac lalu apabila koronavirus itu terus menular hingga memaksa pemerintah menguatkuasakan perintah berkurung.

Kini apabila pembuat filem cuba kembali bekerja, mereka mendapati pihak insurans tidak lagi memberikan jaminan perlindungan berkaitan COVID-19 yang mereka perlukan.

Sesetengah syarikat insurans malah menyingkirkan klausa perlindungan terhadap penyakit berkaitan COVID-19 atau penyakit berjangkit dalam polisi terbaru mereka, ujar peguam insurans Kirk Pasich.

Tanpa perlindungan itu, ramai penerbit tidak boleh mendapatkan bon lengkap atau jaminan yang diperlukan pihak bank setiap kali mahu membuat pinjaman kepada sesebuah produksi.

“Sementara menunggu kru boleh bekerja semula dengan selamat dan insurans melindungi kos berkaitan COVID-19, kandungan yang dihasilkan kini akan berkurangan daripada yang kami mampu lakukan sebelum ini,” keluh penerbit filem bebas, Robert Salerno.

Pihak insurans pula memberi alasan, mereka tidak dapat menawarkan perlindungan kerana belum jelas dengan keadaan pandemik ketika ini.

Walaupun sesetengah negara berjaya mengawal atau menamatkan ancaman virus, banyak kes kini muncul di negara-negara lain, termasuk di Amerika Syarikat.

Di seluruh dunia, hanya tinggal beberapa syarikat insurans yang masih menawarkan perlindungan penuh kepada pekerja industri filem dan televisyen.