Penularan wabak COVID-19 di Itali dianggap sebagai 'misteri' oleh rakyatnya.

Perkara ini diluahkan seorang warga Itali yang berpendapat virus itu hadir ke negaranya secara mengejut.

“Kita tidak pernah sangka perkara seperti ini akan berlaku di negara kami oleh kerana kedudukan benua China dan Eropah yang tidak berapa dekat,” luah seorang warga Itali, Federico Calvi kepada wartawan Astro AWANI dalam satu siaran langsung di laman Instagram Rancak TV.

Menurut Calvi, ia turut menjadi misteri kerana Itali yang merupakan antara negara yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan terbaik dunia kini runtuh apabila unit rawatan rapi (ICU), alat perubatan dan katil untuk merawat pesakit COVID-19 tidak mencukupi.

“Sistem kesihatan Itali berada dalam kesusahan dan kini doktor terpaksa memilih antara siapa yang hidup dan siapa yang akan dibiarkan mati, dan ini sangat membimbangkan,” katanya lagi.

Namun, soalan mengenai virus “misteri” sudahpun terjawab oleh satu laporan Times Of India yang mengaitkan pekerja buruh China di kebanyakan kilang jenama fasyen terkemuka Itali yang terletak di bahagian utara negara itu.

Menurut laporan tersebut, Itali dan China telah menjalin hubungan diplomatik melalui industri fesyen dan hampir semua jenama besar dunia yang berasal daripada Itali seperti Gucci dan Prada menggunakan buruh daripada China.

China juga menawarkan perkhidmatan pembuatan murah yang menyebabkan syarikat fesyen berkenaan menyumber luar produk pembuatan daripada China, terutamanya di Wuhan.

Itali juga mempunyai penerbangan langsung ke Wuhan, dan kajian mendapati lebih 100,000 buruh China bekerja di negara Itali, lapor Times Of India.

Dalam perkembangan lain, rakyat Itali tetap tidak berputus asa untuk melawan virus yang boleh dianggap sebagai 'pembunuh' perkembangan ekonomi negara.

Apabila ditanya bagaimana rakyat Itali yang pada ketika ini sudah berada dalam kuarantin selama tiga minggu mengatasi keadaan negara yang tidak menyenangkan, Calvi berkata rakyat Itali mengadakan budaya balkoni atau “balcony culture”.

Balcony culture turut memberi peluang rakyat Itali yang pandai gemar bermain instrumen dan menyanyi untuk tampil di tingkap masing-masing dan mempersembahkan lagu-lagu tradisional Itali, selain menyanyikan lagu kebangsaan sekali setiap hari.
Budaya positif ini dapat menceriakan serta menyokong masing-masing selain dapat menghilangkan perasaan bosan apabila berada dalam kuarantin.

Perdana Menteri Giuseppe Conte telah mengarahkan Perintah Berkurung yang dikuatkuasa dengan ketat dengan pertolongan angkatan tentera negara Itali, dimana rakyat tidak dibenarkan keluar rumah kecuali sebab yang munasabah, atau boleh dikenakan hukuman jenayah.

Itali merupakan negara yang mempunyai angka kematian tertinggi selepas China dengan angka kematian lebih 5400 dan kes kumulatif positif lebih 51,000 sejak Isnin.