Jumlah kematian disebabkan COVID-19 di Indonesia melonjak kepada 78 orang apabila Kementerian Kesihatan negara itu mengumumkan 20 lagi kematian pada Khamis, iaitu angka kematian tertinggi dalam sehari.

Jakarta ialah wilayah dengan jumlah kematian tertinggi sebanyak 46 orang, diikuti Jawa Barat (11) dan Jawa Tengah dengan enam orang.

Jumlah kematian Indonesia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara, diikuti Filipina dengan 45 orang.

Kadar kematian 8.73 peratus Indonesia adalah antara yang tertinggi di dunia.

Pada Khamis, Ketua Pengarah kawalan dan pencegahan penyakit, Achmad Yurianto mengumumkan 103 kes baharu COVID-19 yang disahkan menjadikan jumlah kes di seluruh negara itu mencapai 893.

Jakarta masih mencatat majoriti kes dengan 515 orang iaitu peningkatan 53 kes sejak Rabu.

Satu lagi wilayah yang mempunyai peningkatan ketara adalah Sulawesi Selatan dengan 14 kes baharu, lebih dua kali ganda jumlah kesnya kepada 27 orang.

"Empat lagi orang telah pulih," kata Yurianto sambil menambah bahawa jumlah pesakit COVID-19 pulih di negara itu adalah 35 orang.