Ujian antibodi untuk COVID-19 bermula di Jepun pada Isnin, dalam usaha Kementerian Kesihatan negara itu menilai tahap imunisasi dalam populasi.

Seramai 10,000 orang akan diuji di kawasan sasaran merangkumi wilayah Tokyo, Osaka dan Miyagi.

Di Tokyo, demonstrasi diadakan pada Isnin bagi menjelaskan proses ujian antibodi, dengan 3,000 individu akan diuji.

Jepun telah memilih kawasan dengan kadar jangkitan yang tinggi, seperti Tokyo dan Osaka dan kadar jangkitan yang rendah, seperti Miyagi, bagi memeriksa sistem ketahanan tubuh masyarakat umum.

Pemilihan dilakukan secara rawak untuk kumpulan umur yang berbeza oleh pemerintah dan jika persetujuan dicapai, ujian darah akan dilakukan di tempat tersebut.

Buat masa ini, ujian tersebut dilihat sangat berguna bagi penyelidik yang berusaha mengesan bagaimana virus COVID-19 mampu merebak.

Menurut Kementerian Kesihatan Jepun, keputusan ujian antibodi tersebut akan dikongsikan kepada orang ramai sebaik ia selesai.

BACA: Jepun pertimbang cadangan tanggung separuh kos penerbangan pelancong

Sementara itu, Jepun sedang mempertimbangkan untuk melonggarkan larangan masuk kepada pelawat dari Thailand, Vietnam, Australia dan New Zealand.

Kyodo News melaporkan penularan wabak COVID-19 semakin pulih di negara-negara itu, yang mempunyai hubungan perniagaan dengan Jepun.

Menarik balik larangan perjalanan itu disifatkan sebagai langkah pertama dan Tokyo akan berunding mengenai syarat-syaratnya dengan empat negara berkenaan.

Pada Isnin, Jepun mengenakan larangan masuk terhadap rakyat dari 111 negara dan wilayah termasuk Amerika Syarikat, sebahagian besar negara Asia dan seluruh Eropah, berkuat kuasa sehingga akhir Jun.

Langkah menarik balik sekatan yang pertama mungkin akan dilaksanakan pada musim panas ini, selepas kerajaan meneliti dan membuat perjanjian dengan keempat-empat negara itu.

Perdana Menteri Abe Shinzo sebelum ini dilaporkan berkata beliau akan mengkaji semula dengan teliti mengenai larangan perjalanan itu.