Ketika dunia gempar dengan penularan jangkitan COVID-19, rakyat Thailand juga terkesan apabila negara itu mencatat lebih 700 kes dengan satu kematian.

Namun, apa yang lebih memeritkan warga negara Gajah Putih itu ialah keberadaan raja mereka ketika rakyat jelata dilanda musibah.

Tanda pagar #kenapakitaperluraja dalam bahasa Thai mulai trending selepas seorang aktivis Thailand di luar negara menyiarkan berita mengenai Raja Maha Vajiralongkorn yang didakwa berada di Jerman ketika negara itu dilanda krisis COVID-19.

Tanda pagar itu digunakan lebih 1.2 juta kali dalam masa 24 jam pada Ahad.

Ekoran itu, seorang menteri memaklumkan bahawa sesiapa yang menimbulkan isu mengenai monarki diraja negara itu boleh dihukum penjara sehingga 15 tahun.

Situasi itu dipantau dan sebarang tindakan bergantung kepada perbincangan dengan agensi keselamatan.

Pihak istana Thailand setakat ini masih belum memberi sebarang kenyataan mengenai isu berkenaan.

King Vajiralongkorn, 67, yang dimahkotakan tahun lalu mempunyai rumah kedua di Jerman dan banyak menghabiskan banyak masa di luar Thailand.

Thailand ialah negara pertama di luar China yang merekodkan kes COVID-19 pada Januari, namun laporan 42 jangkitan di negara itu hanya diumum sebelum permulaan bulan Mac.

Jumlah kes COVID-19 disahkan di Thailand kini adalah kedua paling banyak di Asia Tenggara selepas Malaysia.