Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

COVID-19: Mercedes berlumba di medan perubatan, guna kepakaran F1 bikin alat bantuan pernafasan

COVID-19: Mercedes berlumba di medan perubatan, guna kepakaran F1 bikin alat bantuan pernafasan
CPAP diguna menyalur udara dan oksigen terus ke paru-paru melalui topeng muka bagi pesakit yang terlalu uzur dan tidak mampu menjalani prosedur pernafasan yang lebih intensif.- Gambar hiasan/FREEPIK
BANTUAN pernafasan merupakan prosedur penting dan menjadi kekangan besar sekiranya kurang peralatan penting itu di dalam bilik rawatan COVID-19.

Kini, pasukan Formula 1 Jerman Mercedes Benz tampil membantu usaha perubatan dengan menghasilkan alat pernafasan sesuai untuk rawatan pesakit COVID-19.
Satu pasukan kejuruteraan dari Mercedes bersama pakar akademik dari University College London (UCL) mengambil masa hanya empat hari menghasilkan alat bantuan pernafasan Tekanan Positif Berterusan Pernafasan (Continuous Postive Airway Pressure – CPAP).

Seratus alat CPAP ini yang sedang diuji di sebuah hospital di Utara London berkeupayaan membantu pesakit COVID-19 dalam bilik kecemasan.
CPAP diguna menyalur udara dan oksigen terus ke paru-paru melalui topeng muka bagi pesakit yang terlalu uzur dan tidak mampu menjalani prosedur pernafasan yang lebih intensif.

Teknik sama diguna meluas di Itali mampu bantu mengurang beban pergantungan kepada alat pernafasan (ventilator) yang tidak mencukupi pada waktu pandemik ini.

Alat CPAP ini sudah diberi kelulusan untuk kegunaan rawatan perubatan oleh Medicines and Healthcare products Regulatory Agency (MHRA) yang berperanan menentu keselamatan penggunaan peralatan bidang perubatan di United Kingdom.

Pasukan Mercedes-AMG High Performance Powertrains memulakan usaha mengubah-suai alat CPAP asal diguna untuk merawat masalah pernafasan semasa tidor (sleep apnoea).

Jurutera pasukan Mercedes berjaya menghasilkan alat CPAP baharu dan mempunyai kemampuan untuk menghasilkan 300 unit sehari.

Dengan kerjasama pasukan Formula 1 yang lain dibawah inisiatif yang digelar `Pitlane Project’, 1,000 alat CPAP mampu dihasilkan seminggu.

Beberapa pasukan Formula 1 berpangkalan di United Kingdom dan penggantungan perlumbaan musim 2020 digunakan komuniti perlumbaan membantu usaha perubatan memerangi pandemik COVID-19.