Bagi individu yang menghampiri usia 100 tahun pasti berada mereka dalam keadaan berisiko tinggi ketika dunia dilanda wabak COVID-19.

Namun begitu, masih awal buat Dr Christian Chenay, 98, untuk mengumumkan persaraan apabila dia memilih untuk kekal berkhidmat sebagai doktor di sebuah pusat jagaan warga emas di Paris, Perancis.

Chenay dipercayai doktor paling berusia di Perancis dan tidak ketinggalan memberi sokongan kepada penghuni rumah jagaan di situ dengan membuat lawatan setiap minggu.

“Saya tidak sanggup biarkan mereka ketika wabak ini sedang melanda. Mereka pasti tidak boleh uruskan diri mereka sendiri dalam berdepan situasi ini.

“Tetapi kami sangat beruntung kerana di rumah jagaan ini masih belum terdapat kes jangkitan. Jika salah seorang ada yang positif, ia pasti satu musibah,” katanya kepada agensi berita BBC.

Dalam pada itu, Chenay turut menjelaskan bahawa beliau memilih untuk meneruskan perkhidmatan kerana difahamkan Paris kini berdepan dengan kekurangan doktor keluarga tempatan.

Lebih merisaukan, katanya, adalah bagi mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar Chevilly-Larue yang mengalami kesukaran mendapatkan akses perubatan.

BACA: Rakyat pinggir bandar Paris beratur terima bekalan makanan, keperluan asas

Pakar perubatan yang pernah merawat pesakit pada Perang Dunia Kedua itu, bagaimanapun, kini sedang menjalankan rundingan bersama pesakitnya secara dalam talian.

Ditanya sama ada beliau akan bersara atau tidak dari perkhidmatannya selama 70 tahun itu, Dr Chenay berkata beliau perlu mengurangkan aktivitinya atas banyak sebab.

“Usia saya sudah hampir memasuki 99 tahun dan pergerakan saya pula tidak aktif seperti sebelum ini. Jadi, saya juga perlu jaga diri saya,” katanya.

Untuk rekod, Perancis mengesahkan 166,420 kes jangkitan dengan 24,087 kematian akibat COVID-19.

BACA: COVID-19: Perancis lanjutkan langkah kecemasan hingga 11 Mei