PENDAKWA raya Korea Selatan pada Sabtu menahan seorang pemimpin agama atas dakwaan gerejanya telah mengganggu usaha kerajaan dalam mengambil langkah menghalang penularan COVID-19 di negara itu.

Menurut laporan AP, gereja itu didakwa menyembunyikan sebilangan besar penganut yang telah dijangkiti wabak itu pada Februari dan Mac.

Pihak berkenaan menyoal siasat Lee Man-hee, Pengerusi Gereja Jesus Shincheonji yang didakwa menyembunyikan mereka yang dijangkiti dan tidak melaporkan perhimpunan, bagi mengelak dikenakan tindakan kuarantin berskala besar.

Mahkamah Daerah Suwon telah membenarkan permohonan pendakwa raya untuk menahan Lee atas alasan dia mungkin boleh menjejaskan bukti.

Lee dan gerejanya bagaimanapun menafikan dakwaan itu, sambil menegaskan mereka telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Jurucakap gereja, Kim Young-eun menyatakan pihaknya akan melakukan yang terbaik supaya kebenaran akan dapat dibuktikan di mahkamah.

Setakat ini, lebih 5,200 daripada keseluruhan 14,436 kes positif COVID-19 di negara itu, dikaitkan dengan gereja berkenaan.

Cawangan gereja berkenaan di selatan bandar raya Daegu telah dikenal pasti kluster terbesar selepas jangkitan meningkat secara mendadak pada penghujung Februari.

Pihak berkuasa kesihatan menggunakan program ujian-dan-kuarantin yang agresif untuk mengekang wabak COVID-19 di Daegu dan bandar-bandar sekitarnya pada April, tetapi negara itu menyaksikan peningkatan kes positif di wilayah metropolitan Seoul sejak hujung Mei.