Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

COVID-19: Pengasas Twitter umum sumbangan RM4.35 bilion, hampir 30 peratus kekayaan diri

COVID-19: Pengasas Twitter umum sumbangan RM4.35 bilion, hampir 30 peratus kekayaan diri
Dorsey membuat pengumuman itu di Twitter dengan ciapan 'keperluan yang semakin mendesak'. - Gambar Reuters
PENGASAS aplikasi media sosial Twitter dan aplikasi pembayaran Square, Jack Dorsey mengumumkan akan menderma RM4.35 bilion (AS1 bilion) dalam usaha menangani wabak COVID-19.

Menurutnya, sumbangan itu mewakili kira-kira 28 peratus kekayaannya.

Dorsey membuat pengumuman itu di Twitter dengan ciapan 'keperluan yang semakin mendesak'.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan secara khusus ke mana dana itu akan disalurkan.
Dorsey bagaimanapun mengumumkan akan menggunakan saham yang dimilikinya di Square untuk membiayai sumbangan yang akan diedarkan melalui Yayasan Start Small.

Di Amerika Syarikat (AS) kini, terdapat isu kekurangan ventilator dan peralatan pelindung diri (PPE) selain masalah ekonomi kepada perniagaan dan individu yang terjejas.


Tokoh berusia 43 tahun itu adalah Ketua Eksekutif untuk Twitter dan Square.

Katanya, beliau menggunakan saham Square dan bukan Twitter kerana pemilikan saham yang lebih banyak.

Saham tersebut akan dijual dari masa ke masa yang boleh memberi kesan kepada nilai dan saiz keseluruhan sumbangan.

Apabila pandemik COVID-19 reda kelak, dana ini akan digunakan untuk tujuan kesihatan dan pendidikan wanita serta penyelidikan untuk kebaikan sejagat.

Dalam catatan di Twitter juga Dorsey beliau mahu menderma untuk memberi erti dalam hidupnya.

Derma akan dibuat melalui syarikat liabiliti terhad. Ia adalah mekanisme yang digunakan oleh banyak individu untuk urusan derma, namun sering dikritik kerana dilihat kurang telus.

Dorsey bagaimanapun berkata akan menangani isu itu dengan menyiarkan pautan ke Google Document yang akan mengesan sumbangan dana secara terbuka.

Orang nombor satu Twitter itu bukanlah satu-satunya jutawan teknologi yang menjanjikan sebahagian daripada kekayaan mereka terhadap usaha berkaitan koronavirus.

Pengasas Facebook Mark Zuckerberg juga telah menyumbang sebanyak RM130 juta (AS30 juta), sebahagian besarnya memberi tumpuan kepada usaha untuk mencari penawar pandemik berkenaan.

Sementara ketua Amazon, Jeff Bezos telah menyumbangkan RM434 juta (AS100 juta) kepada bank makanan di AS untuk membantu mereka yang bergelut dengan kelaparan dalam tempoh ini.

Ketua Eksekutif Apple, Tim Cook pula mengumumkan pada Mac bahawa syarikat itu akan mendermakan bekalan perubatan ke Itali yang telah teruk dilanda virus itu.


Tag: Mark Zuckerberg, Facebook, Twitter, Apple, Google, COVID-19, perubatan, kesihatan, Amerika Syarikat, ekonomi, Jack Dorsey, Square, penderma, dermawan, koronavirus, media sosial



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.