KES positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat, melepasi angka 30,000 dengan 993 kes baharu, dalam tempoh 24 jam.

Menurut jurucakap pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19, Achmad Yurianto, bagi tempoh 12 tengah hari Jumaat sehingga 12 tengah malam Sabtu, sebanyak 31 lagi kematian berlaku.

Ini menjadikan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 1,801 orang, manakala kes positif kini berjumlah 30,514 kes.

Peningkatan kes positif berlaku drastik di wilayah Jawa Timur, iaitu 286 kes positif baharu dan 17 kematian dalam tempoh 24 jam.

Jakarta masih mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 524 kes, diikuti Jawa Timur (464 kes), Jawa Barat (158) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

Sementara itu, Singapura mengesahkan 344 kes baru COVID-19, menjadikan jumlahnya meningkat kepada 37,527 kes.

Kementerian Kesihatan republik itu berkata, data pada Sabtu menunjukkan majoriti kes adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

Setakat Jumaat, 307 kes yang disahkan masih berada di hospital dengan empat daripadanya ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sejumlah 24 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik itu dengan dua kematian pertama dilaporkan pada 21 Mac.

Thailand pula melaporkan dua kes baharu COVID-19 membabitkan dua lelaki Thailand yang baru pulang dari luar negara.

Lelaki berkenaan ialah pelajar berusia 22 tahun yang pulang dari Rusia manakala seorang lagi pekerja kilang berusia 39 tahun yang pulang dari Kuwait.

Tiada kematian dalam tempoh 24 jam lepas, menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 setakat ini sebanyak 3,104 dengan 58 kematian.

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Thailand menyarankan agar mengehadkan pelawat di tempat tumpuan pelancongan kerana kerajaan Thailand bercadang untuk melonggarkan larangan dalam fasa keempat, dijangka bermula 15 Jun.