Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Berita  | Dunia

COVID-19: Pesakit hamil boleh jangkiti bayi dalam kandungan - Kajian

COVID-19: Pesakit hamil boleh jangkiti bayi dalam kandungan - Kajian
Dalam kajian itu, mereka menemukan tanda-tanda virus pada beberapa sampel darah tali pusat, plasenta dan satu kes ditemukan dalam susu ibu. -Gambar hiasan
SATU kajian terbaharu menguatkan bukti bahawa wanita hamil yang dijangkiti COVID-19 berkemungkinan boleh menjangkiti bayi dalam kandungan.

Penyelidik dari Itali berkata mereka melakukan kajian terhadap 31 pesakit COVID-19 yang hamil dan melahirkan anak pada Mac dan April.

Dalam kajian itu, mereka menemukan tanda-tanda virus pada beberapa sampel darah tali pusat, plasenta dan satu kes ditemukan dalam susu ibu.

Pakar imunologi di Universitu Milan, Dr Claudio Fenizia berkata kajian mereka menunjukkan jangkitan koronavirus baharu ini berpotensi tersebar daripada ibu ke bayi sebelum lahir.
"Kajian kami menunjukkan bahawa jangkitan SARS-CoV-2 berpotensi tersebar daripada ibu kepada bayi.

"Pada dasarnya, kami memerlukan lebih banyak kajian dengan lebih banyak kes, tetapi kami juga perlu mengkaji apa yang terjadi jika ibu dijangkiti pada awal kehamilan.
"Terlalu awal untuk mengesyorkan ibu positif SARS-CoV-2 untuk tidak menyusu kerana data kami tidak mencukupi untuk menilai potensi risiko penyusuan," kata kumpulan penyelidik itu.

Jelasnya, bagaimanapun kajian itu masih memerlukan lebih banyak penelitian terutamanya kepada wanita yang dijangkiti COVID-19 di awal kehamilan berbanding responden wanita dalam kajian itu.

Pakar kesihatan sebelum ini tertanya-tanya adakah jangkitan di dalam rahim boleh berlaku dalam kes COVID-19.

HIV, Zika dan beberapa virus lain dapat menjangkiti janin dengan cara sedemikian dan beberapa laporan awal dari China menunjukkan COVID-19 juga berkemungkinan terjadi perkara yang sama.

Kajian baharu itu melibatkan wanita di tiga hospital semasa COVID-19 memuncak di utara Itali.

Kata Fenizia, dalam satu kes, para penyelidik mendapati terdapat bukti kukuh menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir positif COVID-19 setelah virus tersebut ditemukan di dalam darah tali pusat dan plasenta.

Dalam kes lain, bayi yang baru lahir mempunyai antibodi terhadap koronavirus yang tidak menyeberangi plasenta, jadi ia tidak berasal dari ibu dan disebabkan oleh pendedahan langsung janin kepada virus.

Bagaimanapun Fenizia berkata kemungkinan jangkitan janin agak jarang berlaku.

Hanya dua daripada bayi yang baru lahir positif positif koronavirus semasa dilahirkan dan kedua-duanya tidak mengalami sebarang kesakitan akibat virus.

Sementara itu, pakar kehamilan di Nyu Langone Health, Dr Ashley Roman berkata beliau dan rakannya juga mengesan zarah virus pada bahagian janin plasenta dalam beberapa daripada 11 kes yang mereka kaji.

"Saya rasa abstrak ini secara khusus menyokong dapatan kajian yang menunjukkan bahawa penularan janin adalah kemungkinan.

"Tetapi apa yang saya mahu juga katakan ialah penularan janin nampaknya merupakan sesuatu yang sangat jarang terjadi.

"Perkara paling penting yang perlu diketahui oleh wanita hamil adalah penjarakan sosial. Penting untuk memakai pelitup muka, mencuci tangan.

"Wanita tidak perlu dipisahkan daripada masyarakat sepenuhnya, tetapi mereka harus prihatin terhadap kesannya untuk kesihatan diri sendiri semasa mengandung," kata Dr Ashley.

Laporan baru itu menambah bukti bahawa penularan dalam rahim adalah berkemungkinan, tetapi jarang berlaku dan tidak menimbulkan masalah serius pada bayi.

UNICEF, agensi kanak-kanak di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesyorkan agar ibu yang dijangkiti COVID-19 memakai pelitup muka semasa menyusu.