PADA waktu virus pembunuh ini terus menular untuk meragut nyawa di merata pelosok dunia – hampir 350,000 orang sudah menjadi korban – Liverpool FC pula kembali bertatih bagi menghidupkan satu harapan yang suatu ketika diancam untuk turut disemadikan.

The Reds sudah kembali ke padang latihan mereka di Melwood minggu ini dalam menyempurnakan impian untuk ditabalkan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas 30 tahun di sebalik gembar-gembur dan harapan musuh-musuh utamanya agar saingan musim ini dikuburkan saja tanpa juara.

COVID-19 sekalipun, nampaknya tidak mampu membunuh Liverpool kecuali sekadar ‘mengkuarantin’ mereka dan pasukan-pasukan lain buat beberapa ketika.

Hasil ihsan 'Project Restart' (projek bermula semula) yang diputuskan EPL dalam memastikan saingan musim 2019/20 ini tidak terbengkalai atau tergantung begitu saja, Liverpool kembali mengatur langkah ke arah satu detik unik dalam sejarah bola sepak Inggeris mahupun Eropah.

Misi yang penting buat Liverpool ketika ini ialah memastikan pemain-pemainnya tidak dijangkiti COVID-19 selain kekal cergas dan sihat.

Menurut akhbar Liverpool Echo, satu kemarau panjang gelaran yang merentasi satu generasi lamanya, akan akhirnya berkesudahan dengan beralaskan hanya enam mata lagi daripada sembilan perlawanan yang masih berbaki, untuk nama kelab itu terukir di piala kejuaraan.

Sejumlah 27 kemenangan daripada 29 perlawanan jelas sudah meletakkan Jurgen Klopp dan anak buahnya di kedudukan ‘penjarakan sosial’ amat selesa – perbezaan 25 mata di tangga teratas yang bakal tercipta sebagai satu malapetaka andai kejuaraan dinafikan daripada mereka.

Kapten, Jordan Henderson, dan tonggak pertahanan, Virgil van Dijk, serta setiap anggota barisan cemerlang ini, bagaimanapun, harus mendepani prospek untuk menyempurnakan impian kejuaraan musim ini di stadium tanpa penonton dan gema dari tempat duduk The Kop.

Misi yang penting buat Liverpool ketika ini ialah memastikan pemain-pemainnya tidak dijangkiti COVID-19 selain kekal cergas dan sihat.

Itu bukan di dalam kawalan mereka kecuali sekadar memastikan enam mata lagi kerana segala keriuhan dan kemeriahan dijulang sebagai juara boleh menyusul kemudian.

Seperti yang sudah kerap diuar-uarkan Klopp sendiri, matlamat itu – mengesahkan kejuaraan dalam sebarang keadaan – adalah satu-satunya perkara yang menjadi keutamaannya sambil meninggalkan perkara selebihnya sebagai kebimbangan orang lain sejak liga ‘dikuarantin’ dua bulan lamanya.

Peri penting buat Liverpool ketika ini ialah memastikan pemain-pemainnya tidak dijangkiti virus berasal dari Wuhan, China itu, kekal cergas dan sihat di samping menyediakan pasukan berada dalam kesiapsagaan untuk meraih ganjaran sebaik lampu hijau dinyalakan untuk baki liga bersambung semula – tanpa mengira bila pun waktunya, sama ada Jun atau Julai ini.

Misi yang penting buat Liverpool ketika ini ialah memastikan pemain-pemainnya tidak dijangkiti COVID-19 selain kekal cergas dan sihat.

Lebih daripada mengatasi harapan pesaing-pesaing untuk melihat Liverpool tergelincir daripada landasan, pandemik COVID-19 ini dan segala gejala yang dibawanya serta segala kepayahan dan ketakutan terhadapnya, harus memberikan The Reds vaksin terbaik pada ketika saintis terbaik dunia masih terkial-kial untuk menghasilkannya.

Biarlah kalau musuh-musuh utama mahu terus mempersendakan mereka tapi tiada apa-apa, baik COVID-19 sekalipun, yang dilabel Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai musuh utama dunia ketika ini, akan mampu menguburkan Liverpool dan impian kejuaraannya.