Seorang remaja berusia 12 tahun di Belgium menjadi mangsa paling muda yang meninggal dunia akibat wabak COVID-19, menurut kenyataan pegawai kesihatan pada Selasa.

"Kes kematian dalam kalangan pesakit muda adalah kejadian yang sangat jarang berlaku," kata jurucakap kerajaan, Dr Emmanuel Andre, sambil menambah bahawa kematian itu sesuatu yang mengejutkan.

Remaja perempuan itu mengalami demam dan diuji positif COVID-19 tiga hari sebelum meninggal dunia, kata seorang lagi jurucakap, Steven Van Gucht.

Tiada butiran lain diberikan mengenai kes tersebut, termasuk sama ada dia mempunyai sebarang masalah kesihatan lain.

Belgium sehingga kini telah mencatatkan sejumlah 705 kematian akibat wabak itu.

Walaupun kes jangkitan COVID-19 serius jarang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan remaja, namun beberapa kes dilaporkan direkodkan sebelum ini malah ada di antaranya terpaksa diberi rawatan intensif di hospital.