Sepanyol bakal melaksanakan perintah berkurung terhadap 47 juta penduduknya secara separa iaitu dengan mengenakan darurat selama 15 hari bagi memerangi wabak COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri Pedro Sanchez pada Sabtu dalam ucapan menerusi siaran televisyen di seluruh negara.

Seluruh warga Sepanyol perlu tinggal di rumah kecuali untuk membeli makanan, ubat-ubatan, pergi ke hospital atau bekerja atau menguruskan hal kecemasan lain, dengan beberapa had kebebasan bergerak bermula pada Sabtu, katanya.

Sanchez berkata beliau sedar tindakan itu akan memberi impak besar kepada rakyat dan ekonomi perniagaan tetapi beliau berjanji bahawa kerajaan akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mengurangkan impak penularan wabak pembunuh itu.

"Saya ingin memaklumkan kepada kesemua mereka yang bekerja, tidak kira sama ada bekerja sendiri atau tidak, serta premis-premis perniagaan bahawa kerajaan Sepanyol akan melakukan segala usaha dalam untuk mengurangkan kesan akibat krisis ini," katanya.

Jelasnya, premis seperti bar, restoran, kedai-kedai menjual apa-apa barangan selain makanan dan bahan keperluan utama termasuk pusat persidangan dan semua aktiviti rekreasi dan sukan akan ditutup.

Malah, premis-premis aktiviti waktu lapang seperti panggung wayang, teater, kolam renang atau gelanggang bola sepak juga akan ditutup.

Tambah Sanchez, pengangkutan awam juga turut akan dikurangkan, dengan operator kereta api jarak jauh diperintahkan untuk mengurangkan perkhidmatan mereka.

Pengumuman itu, bagaimanapun, tidak bermaksud mengisytiharkan penutupan sempadan negara.

Jelasnya, Kementerian Dalam Negeri Sepanyol juga akan mengawal semua pasukan polis, termasuk pasukan tempatan dan wilayah, di bawah kecemasan 15 hari, dan tentera turut diletakkan dalam keadaan bersedia dalam sebarang kemungkinan.

Bagi pelaksanaan kementerian kesihatan dan pengangkutan pula, pengambilalihan kuasa juga akan dilakukan di seluruh negara.

Sepanyol adalah negara kedua di Eropah yang terkesan dengan COVID-19 selepas Itali.

Menurut agensi berita tempatan, seramai 193 kematian dan 6,250 kes dilaporkan setakat ini, dengan 120 kematian yang dilaporkan pada Jumaat.

BACA: Isteri PM Sepanyol, Begona Gomez positif COVID-19