Singapura mengesahkan 278 kes baharu jangkitan COVID-19 di republik itu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan kepada 51,809 kes.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam data ringkas yang dikeluarkan setakat tengah hari, sebahagian besar kes berkenaan adalah pekerja asing yang tinggal di asrama.

"Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat empat kes dalam komuniti dan satu daripadanya warga Singapura manakala tiga lagi adalah pemegang pas kerja," jelas kementerian itu dalam kenyataan tersebut.

Di samping itu, kementerian itu turut memaklumkan terdapat empat kes import yang diberikan Notis Duduk Dirumah (SHN) sebaik tiba di Singapura.

Dalam data lengkapnya yang dikeluarkan lewat semalam, Singapura mengklasifikasikan 692 daripada kes sebagai import, 2,172 sebagai kes komuniti dan 48,667 kes penghuni asrama.

Setakat 12 tengah hari semalam, sebanyak 46,098 atau kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan penjagaan komuniti.

Terdapat 184 kes yang disahkan masih berada di hospital.

Daripada jumlah tersebut, kebanyakannya dalam keadaan stabil atau bertambah baik dan tiada kes yang dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Sejumlah 5,222 pesakit yang bergejala atau sihat secara klinikal tetapi masih diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di pusat penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi kerana COVID-19 di sini.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

-- BERNAMA