Singapura merekodkan satu kematian akibat COVID-19 pada Khamis melibatkan warga emas, menjadikan jumlahnya kepada 23.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan di sini, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu memaklumkan kes kematian terbaharu itu membabitkan seorang lelaki Singapura berusia 73 tahun yang meninggal dunia di Pusat Penyakit Berjangkit Kebangsaan.

Mangsa yang dilabel sebagai Kes 4,689, disahkan dijangkiti COVID-19 pada 17 April lepas dan mempunyai sejarah penyakit hipertensi, hiperlipidemia dan hipotiroidisme.

Singapura melaporkan dua kematian pertama COVID-19 pada 21 Mac.

Semalam, seramai 910 pesakit dibenarkan discaj, 901 kes disahkan masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya stabil dan bertambah baik manakala 10 orang berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi, menurut kementerian itu.

Sebanyak 16,771 kes dengan gejala ringan atau secara klinikal baik tetapi diuji positif COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di kemudahan komuniti.

Republik itu awal Khamis mengesahkan 448 lagi kes jangkitan COVID-19 menjadikan jumlahnya kepada 29,812 kes.

-- BERNAMA