Singapura dalam pengesahan awal hari ini berkata terdapat 261 kes baharu jangkitan COVID-19, menjadikan jumlah keseluruhan 37,183.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu, data pada tengah hari menunjukkan sebahagian besar kes itu masih melibatkan pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

"Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat 11 kes dalam komuniti, iaitu enam adalah rakyat Singapura atau Penduduk Tetap dan lima adalah pemegang pas kerja," menurut kementerian itu dalam kenyataan di sini.

Daripada 11 kes itu, MOH berkata enam dikaitkan dengan kes yang disahkan sebelum ini dan satu mempunyai kaitan dengan kluster asrama manakala penyelidikan epidemik masih berterusan untuk empat lagi.

"Bilangan kes yang lebih rendah hari ini sebahagiannya disebabkan ujian swab yang dijalankan berkurangan," menurut MOH dan menambah ia masih menyelesaikan butiran kes tersebut dan kemas kini lebih lanjut akan dimaklumkan kemudian.

Data lengkap yang dikeluarkan lewat Khamis, Singapura mengklasifikasikan 1,711 sebagai kes komuniti, 580 kes yang diimport dan 34,631 kes pekerja asing yang tinggal di asrama.

Sejumlah 23,904 pesakit atau 65 peratus daripada jumlah keseluruhan 36,922 semalam, telah sembuh.

Menurut MOH sebanyak 12,691 pesakit yang mempunyai gejala ringan atau secara klinikal dilihat dalam keadaan baik tetapi masih diuji positif bagi COVID-19, telah diasingkan dan dirawat di fasiliti masyarakat.

Sehingga tengah hari semalam, 303 kes yang disahkan masih berada di hospital dengan lima menerima rawatan intensif dan setakat ini 24 meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di republik itu.

Empat kluster baharu dikenal pasti pada Khamis, satu di tempat kerja di Kampong Bugis manakala tiga di asrama pekerja iaitu, 212, Tagore Lane; 63, Tuas South Avenue 1; dan 109, Ubi Avenue 4.

-- BERNAMA