Singapura yang memasuki minggu keenam selepas pembukaan semula aktiviti ekonomi dan sosialnya, merekodkan 396 kes baharu jangkitan COVID-19 di republik itu hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan setakat ini berjumlah 52,205 kes.

Dalam data ringkas yang dikeluarkan tengah hari ini, Kementerian Kesihatan Singapura memaklumkan sebahagian besar kes adalah melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama.

"Berdasarkan siasatan kami setakat ini, terdapat tiga kes di dalam komuniti tersebut, yang semuanya adalah pemegang pas kerja," menurut kementerian itu.

Kementerian itu menyatakan terdapat tiga kes import, yang telah diberikan Notis Duduk Di Rumah sebaik tiba di Singapura.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan semalam (Khamis, 30 Julai), Singapura mengklasifikasikan 696 kesnya sebagai import, 2,176 sebagai kes komuniti dan 48,937 sebagai penghuni asrama.

Setakat tengah hari semalam, 46,308 atau kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan kes telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan keluar dari hospital atau pusat jagaan komuniti.

Terdapat 148 kes yang disahkan masih berada di hospital dan daripada jumlah itu, kebanyakannya stabil atau bertambah baik dan tiada kes di unit rawatan rapi.

Sebanyak 5,326 pesakit yang mempunyai gejala atau didapati sihat secara klinikal tetapi masih lagi positif dalam saringan COVID-19 telah diasingkan dan dirawat di pusat penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19 di sini.

Tiada kluster baharu dikenal pasti semalam.

-- BERNAMA