Singapura catat peningkatan tertinggi jumlah kes jangkitan koronavirus di republik itu pada Rabu.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Singapura, sebanyak 142 kes jangkitan COVID-19 direkodkan dalam tempoh 24 jam menjadikan jumlah kes semasa 1,623.

Angka itu merupakan peningkatan tertinggi kes positif di negara itu yang kini bergelut membendung gelombang kedua jangkitan import dari Eropah, lapor CNN.

Kebanyakan kes baharu adalah daripada kluster tempatan, dengan hanya dua kes import.

Sementara itu, 72 pesakit sedang menjalani penjejakan kontak untuk mengenal pasti bagaimana mereka dijangkiti.

Setakat ini, kira-kira 400 mangsa sembuh daripada jangkitan koronavirus tersebut dan dibenarkan keluar wad, tambah kenyataan kementerian itu lagi.

Singapura pada Rabu menguatkuasakan pengharaman perhimpunan di rumah atu di tempat awam susulan peningkatan kes jangkitan di negara itu.

Arahan itu, terpakai kepada keluarga dan rakan yang tidak tinggal serumah, diluluskan Parlimen pada Selasa dan dikuat kuasakan bermula semalam.