Thailand akan membenarkan enam kumpulan warga asing masuk ke negara itu bermula Julai, setelah merekodkan sifar jangkitan tempatan COVID-19 selama 35 hari berturut-turut.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata pasangan dan anak-anak pemegang permit kerja, penduduk tetap, warga asing yang berkahwin dengan warga Thailand, dibenarkan memasuki negara itu dan akan dikuarantin selama 14 hari.

Selain itu, katanya warga asing yang menjalani rawatan di negara itu, pelajar asing dan ibu bapa mereka turut dibenarkan memasuki Thailand, juga akan dikuarantin di kemudahan negara itu.

Seramai 200 pelawat perniagaan seperti ahli perniagaan, pakar-pakar dan profesional daripada lima negara dan wilayah - Jepun, Singapura, Korea Selatan, China dan Hong Kong - akan dibenarkan memasuki negara itu setiap hari.

"Mereka (pelawat perniagaan) dikecualikan daripada dikuarantin selama dua minggu menerusi kemasukan 'fast-track'. Bagaimanapun, mereka haruslah diuji negatif COVID-19 sebelum dan selepas tiba (di lapangan terbang)," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini, pada Isnin.

Thaweesilp berkata CCSA turut bersetuju membuka semula sembilan pusat pemeriksaan sempadan di sembilan wilayah termasuk Rumah Kastam Ban Prakop di Na Thawi, wilayah Songkhla, sempadan Thailand-Malaysia, Tak, Mea Hong Son, Chiang Rai dan Kanchanaburi bagi mempromosikan urusniaga di sempadan bersama negara-negara jirannya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Jeneral Prayuth Chan-o-cha yang mempengerusikan mesyuarat CCSA bersetuju dengan cadangan berkenaan pada Isnin.

Thaweesilp berkata dalam mesyuarat itu Thailand bersetuju membuka semula semua perniagaan dan tempat-tempat termasuk sekolah, tempat hiburan seperti pub, bar dan karaoke bermula Rabu dengan garis panduan kesihatan yang ketat serta memastikan terdapat jarakan sosial.

Beliau berkata tempat hiburan yang ditutup lebih tiga bulan juga dibenarkan beroperasi hingga tengah malam.

Sementara itu, Thailand merekodkan tujuh kes baharu COVID-19 - kesemua adalah warga Thailand yang baru pulang dari luar negara dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kes sebanyak 3,169 dan 58 kematian.

Hari ini adalah hari ke 35 sifar jangkitan tempatan di negara itu.

-- BERNAMA